Dasar luar negara perlu berpegang kepada prinsip dan nilai teras serta kepentingan nasional, namun dalam masa sama bersifat cukup anjal untuk menyesuaikan diri dengan realiti yang sentiasa berubah, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Mohamad berkata demikian ketika menegaskan bahawa “orde semula jadi dunia kini sedang berubah di bawah tapak kaki kita.”
“Institusi semakin lemah, peraturan diabaikan, dan pergantungan ekonomi yang dahulunya dimaksudkan untuk memacu pertumbuhan kini digunakan sebagai alat untuk menekan,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena pelancaran buku bertajuk Strategic Shift: Preparing Malaysia for a Turbulent Future semalam.
Di peringkat domestik, katanya, ia memerlukan kemahuan politik untuk melaksanakan pembaharuan bagi memperkukuh institusi, ekonomi dan rakyat dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Di Wisma Putra, peranan kami adalah memastikan Malaysia bersuara dengan kredibiliti dan jelas di pentas antarabangsa. Ini menuntut keupayaan untuk melihat dunia sebagaimana adanya,” katanya.
Menyentuh mengenai Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia merangkap penulis buku berkenaan, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Mohamad berkata dia “membawa perspektif yang luar biasa luas terhadap isu-isu ini.”
“Pengalamannya dalam pelbagai bidang memberi panduan bagaimana Malaysia boleh berdepan masa depan yang tidak menentu,” katanya.
Faiz disifatkan sebagai antara pemikir terkemuka negara dalam bidang hal ehwal luar dan perdagangan antarabangsa, dengan kerjaya cemerlang yang merangkumi kewartawanan, penguatkuasaan undang-undang, akademik dan lebih tiga dekad dalam amalan guaman.
“Buku ini wajar dibaca kerana ia mencabar rakyat Malaysia untuk berfikir secara kritikal tentang kedudukan kita di dunia,” katanya.
-Bernama






