Agenda membasmi kemiskinan tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, tegas Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Sebaliknya, katanya, agenda tersebut menuntut kerjasama erat universiti, sektor swasta, badan masyarakat sivil, dan juga sokongan individu.
“Hanya dengan kesatuan usaha inilah kita mampu mencapai hasil yang bermakna,” katanya atas kapasiti sebagai pengasas badan pemikir Polity.
Anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sebuah forum di Kuala Lumpur berkaitan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI), satu kaedah mengukur kemiskinan yang lebih menyeluruh.
Bukan hanya mengambil kira pendapatan, kayu ukur ini turut melihat pelbagai aspek kekurangan yang dihadapi oleh isi rumah seperti kesihatan, pendidikan, dan taraf hidup.
Program itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan menghimpunkan pelbagai tokoh akademik, pembuat dasar serta wakil pertubuhan masyarakat sivil.

Menurut Nurul Izzah, kemiskinan tidak boleh lagi dilihat hanya dari sudut pendapatan semata-mata.
“Pengukuran kemiskinan tradisional yang hanya menilai tahap pendapatan tidak lagi mencerminkan realiti sebenar kehidupan rakyat.
“Ramai isi rumah masih berdepan kekurangan dari segi akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan, dan kemudahan asas,” katanya.
Dia menjelaskan bahawa pendekatan MPI mampu membantu kerajaan menilai keberkesanan dasar serta program pembasmian kemiskinan dengan lebih tepat.
Melalui data yang dikumpul, kerajaan dapat mengenal pasti kelompok yang benar-benar memerlukan bantuan, sekali gus memastikan tiada keluarga atau komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
Nurul Izzah juga menerangkan asas kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Kesihatan yang baik adalah prasyarat kepada produktiviti,” katanya.
“Jika rakyat tidak sihat atau tidak mampu mendapatkan rawatan, mereka akan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan,” katanya sambil menekankan keperluan kepada sistem kesihatan yang lebih inklusif dan adil.”
Cabaran wanita
Dia turut menarik perhatian terhadap cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita, terutamanya dalam aspek simpanannya selepas persaraan dan perlindungan sosial.
“Data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan wanita lebih terasing kerana hidup lebih lama, namun mempunyai simpanan lebih rendah.
“Ini menuntut dasar ekonomi yang lebih sensitif terhadap jantina,” jelasnya.
Dalam ucapannya, dia turut menjelaskan bahawa konsep kemiskinan di Malaysia boleh dikategorikan dalam tiga jenis.
Katanya, kemiskinan mutlak adalah apabila pendapatan isi rumah berada bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Kemiskinan relatif melibatkan jurang antara isi rumah miskin dan masyarakat sekeliling, yang individu mungkin tidak miskin dari segi pendapatan mutlak tetapi masih tertinggal dalam taraf hidup, akses pendidikan atau peluang pekerjaan.
Kemiskinan pelbagai dimensi pula menggabungkan pelbagai aspek termasuk kesihatan, pendidikan, taraf hidup dan akses kepada kemudahan asas, sekali gus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kesejahteraan sebenar rakyat.
Dalam konteks kerjasama pelbagai pihak, Nurul Izzah menegaskan bahawa universiti, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan.
“Universiti membawa peranan penting dalam penyelidikan dan analisis data yang boleh membantu penggubalan dasar lebih tepat.
“Sektor swasta pula boleh menyumbang melalui penciptaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran, serta pelaburan dalam komuniti luar bandar,” ujarnya.
Dia turut menyarankan agar lebih banyak NGO tempatan seperti Yayasan Hasanah, Institut Kajian Khazanah, Yayasan MyKasih, Mercy Malaysia, dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) digembleng bersama dalam inisiatif membasmi kemiskinan.
“NGO mempunyai kekuatan tersendiri kerana mereka dekat dengan komuniti, memahami keperluan sebenar rakyat, dan mampu menyampaikan bantuan dengan lebih pantas serta berkesan,” katanya.
Nurul Izzah menambah bahawa inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Skim Asas Rahmah perlu diselaraskan dengan dapatan daripada kajian MPI agar bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
Dia turut menyeru agar hasil perbincangan dan dapatan daripada forum ini diterjemahkan kepada tindakan sebenar di lapangan, bukan sekadar menjadi dokumen atau laporan.
“Kita mahu supaya setiap cadangan hari ini dapat membentuk dasar yang benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan terpinggir,” katanya.






