Warisan berikrar untuk menangani isu “penyakit tiga serangkai” di Sabah jika diberikan mandat untuk menjadi kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri tidak lama lagi, bermula dengan masalah air kronik.
Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, berkata isu bekalan air bersih itu akan ditangani dalam tempoh setahun pertama mereka menjadi kerajaan negeri.
Dalam konteks politik Sabah, penyakit tiga serangkai itu merujuk kepada isu air, jalan raya, dan bekalan elektrik.
Katanya Sabah bukannya berdepan dengan isu kekurangan air mentah tetapi masalah muncul ekoran isu pengagihan yang lemah dan kapasiti rawatan yang tidak mencukupi.
“Saya beri jaminan — dalam tempoh satu tahun selepas membentuk kerajaan, kita akan selesaikan masalah air di Sabah. (Sabah ini) Bukan kekurangan air. Kapasiti untuk rawatan dan rangkaian pengedaran mesti diperbaiki.
“Paip bocor, loji tidak mencukupi, dan lori tangki menjual air manakala paip tiada air,” katanya kepada media di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu hari ini.
DUN Sabah dibubarkan pada 6 Okt lalu selepas pemimpin kerajaan negeri, Hajiji Noor, sebelum itu menemui Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai badan yang mengelolakan urusan pilihan raya mempunyai tempoh selama 60 hari untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pelaksanaan pemilihan di Sabah.
Kali terakhir Sabah menjalankan PRN ialah pada 30 Julai 2020.
Rakyat tentukan kerajaan
Menurut Mohd Shafie selain isu bekalan air bersih Warisan juga berjanji untuk menyelesaikan masalah jalan raya dan elektrik yang akan ditambah baik secara berperingkat-peringkat dalam usaha memulihkan keyakinan orang ramai.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie mengumumkan penyertaan bekas Adun Liawan, Sairin Karno, 71, ke dalam Warisan.
Dia merupakan ahli politik veteran yang dianggap mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Keningau dan pernah menjadi penyokong Umno sejak sekian lama.
Sairin mewakili kawasan DUN Liawan dari 2004 hingga 2018 dan pernah memegang portfolio pembantu menteri pembangunan luar bandar serta pertanian dan industri makanan.
Jawatan terakhirnya sebelum ini ialah Pengerusi Veteran Umno Sabah.
Dalam sidang media sama, Mohd Shafie mengulangi komitmen Warisan untuk bertanding dalam PRN kali ini secara solo dan menegaskan mereka berpakat dengan rakyat, bukannya parti lain.
Kenyataannya itu dibuat selepas Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan, menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan parti lain – termasuk Warisan – selepas parti itu meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada minggu lalu.
“Kerjasama kami ialah dengan rakyat Sabah, bukan dengan parti politik.
“Yang menentukan siapa akan menjadi kerajaan nanti ialah rakyat, bukan Star, bukan GRS,” katanya.






