Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) Malaysia 2022 menunjukkan pendapatan isi rumah di negara ini masih mencatatkan kemerosotan disebabkan tekanan ekonomi semasa yang dihadapi rakyat.
Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail, berkata dapatan itu berdasarkan kajian MPI melalui penilaian empat dimensi utama iaitu, taraf hidup, kesihatan, pendidikan dan pendapatan.
Menurutnya, berdasarkan laporan MPI, taraf hidup kekal menjadi penyumbang terbesar kepada kadar ketersisihan negara, merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan skor MPI.
“Permasalahan ini menunjukkan bahawa meskipun kemudahan asas semakin bertambah baik, jurang dalam kualiti hidup rakyat di beberapa kawasan, khususnya luar bandar masih wujud.
“Laporan MPI juga menunjukkan 6.77 peratus isi rumah luar bandar mengalami ketersisihan pelbagai dimensi berbanding bandar, iaitu 0.94 peratus. Ia menunjukkan jurang sosial dan pembangunan yang ketara.
“Dimensi kesihatan pula menunjukkan penambahbaikan ketara apabila kadar kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan menurun daripada 6.5 peratus pada 2019 kepada 2.4 peratus pada 2022,” katanya ketika membentangkan laporan pada Forum dan Bengkel MPI Sebagai Alat Pemacu Transformasi Sosioekonomi di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atas kapasiti sebagai pengasas badan pemikir Polity.
Wan Ahmad berkata, perubahan ini menggambarkan peningkatan capaian terhadap kemudahan kesihatan awam seperti klinik, hospital dan perkhidmatan serta pelaksanaan perkhidmatan kesihatan bergerak yang lebih meluas.
Katanya, laporan itu juga mendapati dimensi pendidikan dilihat stabil apabila kadar ketidakhadiran ke sekolah kekal pada 0.4 peratus, menandakan keberkesanan dasar kerajaan dalam memperkukuh akses pendidikan asas dan mengurangkan keciciran pelajar.
Namun, di sebalik peningkatan positif dalam dimensi kesihatan dan pendidikan, pendapatan isi rumah mencatatkan kemerosotan, didorong tekanan ekonomi semasa akibat inflasi, peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan pasaran kerja, khususnya dalam sektor yang bergantung kepada ekonomi primer seperti pertanian dan perikanan.
“Perkembangan ini sekali gus menunjukkan pendapatan sebenar terus terhakis akibat kenaikan harga barangan dan keperluan asas,” katanya lagi.
Sementara itu, laporan MPI turut merekodkan jumlah isi rumah yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) meningkat kepada 6.2 peratus pada 2022 berbanding tahun 5.6 peratus pada 2019.






