NGO berpangkalan di Israel, Pusat Perundangan untuk Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) menuntut akses kepada semua aktivis yang dipintas di perairan antarabangsa oleh pasukan Israel awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Adalah berkata pihaknya telah mengutus surat kepada pihak berkuasa Israel bagi menawarkan khidmat guaman kepada semua peserta Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Adalah akan mencabar penahanan tidak sah dan rampasan kapal serta bantuan yang dibawa” kata kumpulan itu.
Menurut Adalah lagi, sebelum komunikasi terputus awal pagi tadi, peserta yang menaiki kapal Conscience — yang kebanyakannya terdiri daripada doktor, jururawat dan wartawan — melaporkan bahawa mereka telah diserang oleh helikopter tentera Israel, manakala pasukan tentera laut Israel memintas dan menaiki kapal layar Thousands Madleen.
Jurucakap kumpulan itu memberitahu Malaysiakini bahawa setakat jam tiga petang waktu Malaysia, semua aktivis yang ditahan – termasuk sembilan rakyat Malaysia – masih belum tiba di pelabuhan Ashdod di Israel.
Misi FFC ini melibatkan lapan wakil Malaysia di atas kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September.
Mereka ialah Mohd Alauddin yang menjadi ketua misi; doktor Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; pensyarah Mohd Afandi Salleh dan Noorhasyimah Ismail; ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Norsham Abu Bakar; serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Maziah Muhammad menaiki kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily, pada 27 September bersama tujuh kapal lain menuju ke Gaza.
Terdahulu hari ini, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) — organisasi utama yang menyelaraskan delegasi Malaysia berjumlah sembilan orang — memaklumkan bahawa sembilan kapal tersebut telah dipintas di perairan antarabangsa pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa penganjur FFC supaya mendapatkan khidmat peguam Malaysia, yang sebelum ini membantu aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut ditahan dan telah pulang ke Malaysia malam tadi.
Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid berkata proses undang-undang perlu dipercepatkan bagi melindungi peserta Malaysia, dan memberi amaran Israel semakin “terdesak” di tengah meningkatnya tekanan antarabangsa.
“Kita perlu bertindak cepat, seperti yang kita buat untuk GSF. Nampaknya penyertaan Malaysia akan berterusan kerana ramai aktivis mahu sertai. Jadi pasukan guaman mesti sentiasa bersiap sedia — urus hal birokrasi dan fokus pada keselamatan mereka.
“Memang wajar mandat itu diberikan. Ini adalah ulangan situasi yang sama. Jadi mereka memang patut mendapat bantuan guaman.
“Kami menyeru penganjur agar segera berhubung dengan peguam Malaysia atau sesiapa yang berupaya mengendalikan kes ini, supaya mereka diberi mandat (untuk mewakili perserta dari segi undang-undang), sama ada secara lisan atau bertulis,” kata Azmi di Kuala Lumpur hari ini.
Peguam hak asasi manusia, Fahmi Abd Moin mengesahkan pasukan guaman dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) ketika ini belum menerima mandat untuk membantu sembilan rakyat Malaysia yang ditahan.
Pasukan guaman lima orang itu sebelum ini mewakili 23 aktivis GSF yang pulang malam tadi selepas mereka turut ditahan oleh pasukan Israel di perairan antarabangsa.
Selepas kepulangan mereka, Azmi hari ini berkata Mapim akan terus menyokong usaha flotilla global agar perhatian dunia terhadap sekatan Gaza berterusan dan meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel.
Dia turut mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Flotilla Global bagi menyelaras usaha serantau di bawah rangka kerja kemanusiaan dan undang-undang yang selaras.






