Malaysia Oversight

Program Mitra masih dalam proses penyaluran dana

By MkiniBM in October 8, 2025 – Reading time 2 minute
Program Mitra masih dalam proses penyaluran dana


PARLIMEN | Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kesemua program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bagi tahun 2025 masih dalam proses penyaluran pembayaran.

“Sehingga kini, Mitra telah diberi kelulusan untuk melaksanakan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM60.34 juta.

“Kesemua program ini kini berada pada peringkat penyaluran pembayaran dan dijangka selesai pada bulan November 2025,” kata Ramanan secara bertulis ketika menjawab soalan ahli parlimen Klang V Ganabatirau.

Katanya, juga sedang memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik bagi baki peruntukan tahun 2025 untuk memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.

Terdahulu, Ganabatirau meminta Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan sejak dari pengumuman Belanjawan 2025 sehingga kini berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan dan dibelanjakan untuk Mitra dan apakah program-program yang telah dilaksanakan.

Ramanan yang juga baru-baru ini diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal masyarakat India berkata antara program yang diluluskan adalah bantuan subsidi pendidikan awal tadika swasta dan program bantuan subsidi dialisis.

Program lain, katanya, adalah kajian impak pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India tahun 2021-23, projek naik taraf infrastruktur dan keselamatan perkampungan India serta menambah baik peralatan makmal.

Selain itu, Mitra juga memperuntukan RM20 juta untuk memperkasa rumah ibadat sebagai pusat komuniti, bantuan penyelenggaraan dan memperbaiki kerosakan kecil rumah untuk pekerja ladang India B40 melibatkan RM10 juta dan projek bakul makanan sempena perayaan Deepavali kepada 5,000 masyarakat India B40.

Pada 30 Julai, PMO mengumumkan 16 program diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, dengan penekanan kepada bidang pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.

Mitra bermula sejak tahun 2008 dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyertaan Masyarakat India dalam Program dan Projek (CCIC) bagi menangani jurang struktur.

Inisiatif ini membawa kepada pelancaran Pelan Induk Masyarakat India (MIB) serta penubuhan Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic) pada 2017, yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Mitra pada 2018.

Namun, keberkesanan Mitra dilihat terjejas akibat perubahan kerap dalam bidang kuasa pentadbiran antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Perpaduan Negara, sekali gus mewujudkan ketidakstabilan operasi yang ketara.

Walaupun keputusan kabinet pada April 2024 untuk mengembalikan Mitra ke JPM bertujuan memberikan fokus yang lebih jelas, cabaran berterusan membuktikan kapasiti institusi masih menjadi persoalan besar.



Source link