Malaysia Oversight

Gagal laksana projek, KPM tak teragak-agak tamatkan kontrak

By MkiniBM in October 8, 2025 – Reading time 1 minute
Gagal laksana projek, KPM tak teragak-agak tamatkan kontrak


PARLIMEN l Kementerian Pendidikan (KPM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek pembangunan mengikut jadual termasuk menamatkan kontrak mereka.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata pengeluaran notis tujuan penamatan dan penamatan kontrak antara langkah terakhir yang diambil terhadap perunding atau kontraktor yang gagal menunaikan obligasi mereka.

Beliau berkata tindakan itu susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Persekutuan 2024 yang mendapati sebanyak 46 projek pembangunan di bawah KPM pada 2024 berstatus lewat jadual atau sakit, iaitu 23 peratus daripada 2,040 projek di bawah Rolling Plan IV Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Antara faktor yang menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek dan projek sakit termasuklah kelemahan kontraktor menguruskan pelaksanaan projek dan kewangan, logistik, kelewatan kelulusan penyambungan pengalihan dan pemasangan utiliti.

“Selain itu, perkara luar jangka seperti cuaca tidak menentu, bencana alam, pandemik dan kenaikan harga bahan mentah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul LKAN 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Persekutuan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

– Bernama



Source link