Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh tentera zionis Israel yang menahan kapal misi kemanusiaan ke Gaza pagi tadi.
Beliau berkata kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh rejim itu pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Perdana Menteri berkata tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
“Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.
“Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini, dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin,” katanya.






