Pembangunan Ribuan Robot Tesla Optimus Dilaporkan Tergendala Kerana Pelbagai Isu
Effi Saharudin
Tahun lalu Elon Musk berkata nilai Tesla akan mencanak naik ke $25 trilion berbanding sekitar $1.5 trilion sekarang sejurus selepas robot Optimus mula dipasarkan. Beliau meramalkan penggunaan Optimus di setiap rumah untuk menjadi pembantu, di lantai kilang menggantikan buruh manusia dan juga akan dihantar ke Marikh untuk membangunkan koloni. Antara sasaran awal beliau ialah menghasilkan ribuan robot pada tahun ini.
Namun begitu menurut laporan The Information hari ini, sasaran membina ribuan Optimus tahun ini tergendala kerana pelbagai isu yang dihadapi ketika pembangunan. Pelan didapati tidak mampu dicapai ketika musim panas yang lalu. Antara isu yang dihadapi ialah pembangunan tangan yang kompleks.

Sungguhpun begitu Musk masih ingin menghantar Optimus ke permukaan Marikh seawal 2027 sungguhpun robot ini tidak direka untuk digunakan di luar kawasan tertutup. Suhu sejuk melampau dan berdebu di Marikh akan menyebabkan Optimus perlu direka semula untuk memakai sut angkasa lepas yang pada ketika ini masih tidak wujud.
Laporan ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana Tesla tidak begitu mempromosikan kemampuan sebenar Optimus jika dibandingkan dengan Unitree dan Boston Dynamics. Optimus tidak menyertai Sukan Robotik Humanoid yang dianjurkan di China tahun ini. Malahan semasa acara pelancaran Cybercab tahun lalu, Optimus yang berinteraksi dengan pengunjung disahkan dikawal secara jarak jauh oleh manusia dan bukannya bercakap menggunakan xAI seperti dijanjikan.
Kami laporkan sebelum ini lembaga pengarah Tesla ingin memberikan ganjaran $1 trilion kepada Musk jika beliau menjual 1 juta Optimus secara komersial, Cybercab berjaya sebagai perkhidmatan teksi robot komersial, meningkatkan jualan EV sehingga 20 juta unit setahun dan meningkatkan pendapatan Tesla berlipat ganda. Tetapi jualan EV Tesla merosot disebabkan persaingan daripada China dan Cybercab belum menunjukkan boleh beroperasi tanpa kelindan manusia.
Walaupun berhadapan pelbagai cabaran di beberapa syarikat yang diketuai beliau, Elon Musk masih kekal sebagai manusia terkaya di dunia dengan harga mencecah $500 bilion minggu lalu.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






