PETALING JAYA: Kira-kira 293 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan di Sarawak tidak melaporkan diri untuk bertugas sebelum 1 Oktober lalu.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Kesihatan Sarawak, Dr. Sim Kui Hian berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menawarkan 542 jawatan doktor di negeri itu namun 293 daripadanya tidak hadir melaporkan diri.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di seluruh negeri Sarawak untuk diisi.
“Kami memohon 650 calon mengisi jawatan tersebut. Namun, kami hanya diberikan 542, dan daripada jumlah itu, hanya 249 melapor diri untuk bertugas, manakala kira-kira 54 peratus tidak berbuat demikian.
“Jadi, lebih ramai doktor yang gagal melapor diri berbanding yang hadir,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post.
Kui Hian berkata, susulan isu itu, beliau berharap supaya mesyuarat jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan datang dapat mencapai kata sepakat menangani masalah kekurangan doktor di Sarawak.
Sebelum ini, Kui Hian berkata, tujuh hospital awam di Sarawak kekurangan sekitar 11,000 petugas kesihatan, termasuk lebih 1,100 pegawai perubatan.
Beliau berkata, angka itu berdasarkan anggaran Kementerian Kesihatan susulan lawatan pasukan sumber manusia pada Julai lalu.-UTUSAN






