Gergasi telekomunikasi Norway, Telenor ASA, pemilik bersama CelcomDigi Bhd di Malaysia, telah menerima notis tindakan undang-undang berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia berkait operasi lamanya di Myanmar.
Para penuntut, yang diwakili firma guaman Norway Simonsen Vogt Wiig, menuduh Telenor secara tidak sah berkongsi data peribadi sensitif rakyat Myanmar dengan pihak berkuasa tentera negara itu selepas kudeta 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik.
Pendedahan tersebut – termasuk nama, alamat, nombor pengenalan diri, lokasi terakhir dan rekod panggilan – didakwa membawa kepada “penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan sekurang-kurangnya pelaksanaan satu hukuman mati” oleh junta tentera Myanmar.
Menurut salinan notis undang-undang yang dikongsi bersama Malaysiakini, plaintif mendakwa Telenor terus bekerjasama dengan permintaan data daripada junta sehingga Mac 2022, ketika ia menyelesaikan penjualan operasi Myanmar kepada Investcom Pte Ltd.

Investcom ialah usaha sama antara syarikat pelaburan Lubnan M1 Group dan konglomerat Myanmar Shwe Byain Phyu, yang dimiliki ahli perniagaan protentera U Thein Win Zaw. Antara pelaburnya termasuk Khin Thiri Thet Mon – anak perempuan ketua junta tentera Min Aung Hlaing.
Pada waktu penjualan itu, Telenor dilaporkan mempunyai lebih 18 juta pelanggan di Myanmar, dengan transaksi perniagaan turut melibatkan pemindahan teknologi pengintipan yang dikenakan sekatan, yang dikatakan telah “dipasang dan diuji” oleh Telenor sebelum keluar dari negara itu.
Pengadu berhujah bahawa tuntutan ganti rugi di bawah undang-undang Norway disokong oleh pengetahuan eksekutif kanan dan ahli lembaga Telenor yang didakwa sedar sepenuhnya akan implikasi daripada “pendedahan sistematik” data peribadi pelanggan.
“Telenor juga bertanggungjawab atas kerugian yang berpunca daripada tindakan cuai atau sengaja pekerjanya… Terdapat kaitan langsung antara pendedahan data peribadi oleh Telenor kepada junta tentera dengan kerugian ekonomi yang dialami plaintif,” menurut notis itu.

Tindakan undang-undang ini – dimulakan oleh rakyat Myanmar, keluarga mangsa yang terkorban, serta NGO Defend Myanmar Democracy dan Myanmar Internet Project – turut disokong oleh Centre for Research on Multinational Corporations (Somo) dan Open Society Justice Initiative.
Telenor diberi tempoh dua minggu untuk menjawab notis yang diserahkan kepada syarikat itu semalam (6 Okt).
Dalam maklum balas segera kepada pertanyaan Malaysiakini, Telenor menyifatkan notis itu sebagai “gimik PR dalam kes tragis”, sambil menambah siasatan polis dan mahkamah Norway sebelum ini tidak membawa kepada sebarang hasil.
“Fakta bahawa wartawan dari Kuala Lumpur dan Bangkok hingga Helsinki dan Oslo menerima notis tindakan undang-undang ini jauh lebih awal daripada kami, malangnya menunjukkan di mana fokus Somp sebenarnya,” kata syarikat itu.

Telenor menjelaskan pengendali telekomunikasi diwajibkan secara undang-undang mematuhi permintaan kerajaan yang sah untuk akses kepada data tertentu.
Kata Telenor kegagalan berbuat demikian di Myanmar akan mendedahkan pekerjanya kepada “bahaya langsung dan akibat serius”.
“Selepas kudeta, pejabat kami digeledah tentera bersenjata, tempat itu dipasang periuk api, pekerja diugut dan malangnya, seorang pekerja ditembak mati.
“Telenor berdepan junta tentera yang ganas dan ia tidak boleh mempertaruhkan nyawa pekerjanya,” kata syarikat itu lagi.

Tegasnya lagi, sebarang kemungkinan penyalahgunaan data pengguna di luar kawalan Telenor dan tanggungjawab penuh junta Myanmar.
Malaysiakini turut menghubungi Axiata Group Bhd – pemegang saham utama CelcomDigi yang lain – serta CelcomDigi bagi mendapatkan maklum balas dan sedang menunggu jawapan.
Notis undang-undang ini menyusul selepas kumpulan hak asasi Justice for Myanmar dan ICJ Norway mengemukakan aduan kepada polis Norway pada 19 Dis tahun lalu terhadap Telenor dan pengurusan operasi Myanmarnya atas dakwaan melanggar sekatan Norway dari 2018 hingga 2022.
Pada 20 Ogos lalu, penyiar milik kerajaan Norway, NRK melaporkan bekas CEO Telenor Myanmar, Jon Mund Revhaug – yang juga timbalan pengerusi lembaga pengarah CelcomDigi – sebagai mengesahkan Telenor telah berkongsi data pengguna sensitif dengan junta tentera.
“Akibat menolak arahan tentera boleh mendedahkan pekerja kami kepada bahaya maut,” katanya seperti dipetik.
‘Data jadi senjata buru aktivis’
Ketika butiran pendedahan data ini didedahkan, seorang bekas pelanggan Telenor berkata pematuhan syarikat itu terhadap arahan tentera memberi kesan nyata yang merosakkan kehidupan rakyat.
Salah seorang penuntut bersama kes itu, seorang aktivis kanan hak asasi Myanmar, memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan Telenor secara langsung membahayakan orang awam dan mendedahkan aktivis kepada penahanan serta penyeksaan.
“Selepas kudeta (2021), saya tahu tentera akan guna data telekomunikasi untuk memburu aktivis seperti saya. Saya terus meminta Telenor memadamkan data saya dari sistem mereka untuk melindungi diri, (tetapi) mereka enggan. Mereka kata tidak akan melakukannya kerana saya bukan penduduk EU (Kesatuan Eropah).
“Fikirkan apa maksudnya: Kalau saya orang Eropah, Telenor akan lindungi data saya, tapi kerana saya rakyat Myanmar, keselamatan saya tidak penting bagi mereka – walaupun saya berdepan bahaya lebih besar daripada mana-mana pelanggan Eropah,” kata individu dikenali sebagai Ko Ye.

Dia menegaskan Telenor boleh memilih jalan lain dengan memberi amaran kepada pengguna, memadamkan data atau enggan bekerjasama dengan apa yang disifatkannya sebagai “junta tentera tidak sah”.
“Kebimbangan saya tidak berhenti dengan apa yang telah berlaku. Saya bimbang data pengguna Telenor masih boleh dijadikan senjata terhadap rakyat Myanmar yang sedang berjuang untuk demokrasi dan keamanan negara kami.
“Data itu kekal sebagai alat untuk tentera menjejak, menahan dan membunuh mereka yang berjuang untuk kebebasan kami.
“Setiap hari data itu wujud (bermaksud) satu lagi hari bahaya buat aktivis prodemokrasi,” tambahnya.

Walaupun berisiko, aktivis itu berkata menuntut keadilan di luar negara perlu dilakukan memandangkan ketiadaan sumber dan ruang di Myanmar.
“Tiada apa boleh mengembalikan nyawa yang terkorban. Tiada apa boleh memadamkan penderitaan orang yang diseksa, tapi kami perlu cuba,” tegasnya.
“Rasa janggal membawa kes ini ke Norway – jauh dari Myanmar, di negara asal Telenor – tapi mungkin di situlah tempatnya. Mungkin rakyat Norway perlu tahu apa yang syarikat mereka lakukan di negara kami.
“Mungkin keadilan perlu sampai sejauh ini kerana kami tak mampu mendapatkannya di negara sendiri.”

Dia turut berharap kes ini akan mencipta duluan global mengenai akauntabiliti korporat, khususnya bagi syarikat yang beroperasi di zon konflik atau bawah rejim autoritarian.
“Data kami adalah hak kami. Kami bayar untuk perkhidmatan Telenor – bukan percuma.
“Mereka ambil wang kami dan serahkan data kami kepada pihak yang menggunakannya untuk membunuh kami. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Ditanya mesejnya kepada Telenor dan para pemegang sahamnya, dia menegaskan syarikat itu perlu melakukan perkara paling asas dengan mendengar suara pelanggan.

“Saya tidak percaya apa yang kamu (Telenor) lakukan terhadap rakyat Myanmar. Saya tidak percaya kamu melihat situasi kami – kudeta tentera, diktator memburu aktivis – dan kamu masih memilih menyerahkan data kami.
“Ambil tanggungjawab. Akui kesalahan. Bayar pampasan kepada mangsa. Pastikan ia tidak berulang – bukan di Myanmar, bukan di Malaysia, bukan di mana-mana,” katanya.
Dalam mesej kepada rakyat Malaysia, khususnya pengguna CelcomDigi, aktivis itu menggesa agar lebih berwaspada terhadap pengendalian data mereka.
“…apabila tiba hari kamu berdepan bahaya, Telenor akan tinggalkan kamu. Mereka sudah tunjukkan bahawa mereka tidak peduli apa jadi pada pelanggan. Mereka akan lindungi kepentingan perniagaan, bukan nyawa kamu.
“Kamu ada kuasa sebagai pelanggan. Tanya CelcomDigi dan Telenor: adakah kamu akan lindungi kami, atau tinggalkan kami seperti kamu tinggalkan rakyat Myanmar? Sedarlah siapa yang kamu percayakan dengan data sebelum terlambat,” katanya memberi amaran.
Pegangan besar di CelcomDigi
Kerajaan Norway kekal sebagai pemegang saham majoriti Telenor. Dalam pada itu syarikat berkenaan – melalui Telenor Malaysia Investments Pte Ltd – memiliki 33.10 peratus pegangan dalam CelcomDigi, hasil penggabungan Celcom Axiata dan Digi Telecommunications pada 2022.
Axiata Group juga memiliki 33.10 peratus saham dalam CelcomDigi, salah satu pengendali rangkaian mudah alih terbesar Malaysia dan pemain utama dalam pelaksanaan 5G negara selepas Putrajaya beralih daripada model rangkaian borong tunggal kepada struktur dua rangkaian.
Pada 15 Ogos lalu, dilaporkan CelcomDigi, Maxis Bhd dan YTL Power International Bhd masing-masing memberikan pendahuluan tambahan RM116.67 juta kepada syarikat tujuan khas (SPV) kerajaan bagi pelaksanaan 5G, Digital Nasional Bhd (DNB).
CelcomDigi bersama dua entiti lain, masing-masing kini memegang 19.44 peratus pegangan dalam DNB.
Menurut pengarah advokasi Somo, Joseph Wilde-Ramsing, potensi saman antarabangsa terhadap Telenor menimbulkan persoalan penting untuk CelcomDigi dan pengawal selia Malaysia – apakah jaminan yang wujud untuk mengelakkan pelanggaran sama berlaku di sini?
Merujuk kepada Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia serta Garis Panduan OECD mengenai Tingkah Laku Perniagaan Bertanggungjawab, dia berkata syarikat mempunyai tanggungjawab menghormati hak asasi.
Dalam konteks Malaysia, katanya Telenor – dan secara langsung, CelcomDigi – mempunyai kewajipan untuk mengelakkan sebarang kesan buruk terhadap hak asasi manusia.
“Jika menerima permintaan data serupa daripada pihak berkuasa, CelcomDigi perlu menilai risiko terhadap pengguna dengan teliti dan menolak permintaan itu – khususnya jika perkongsian data boleh mendedahkan pengguna kepada risiko serius,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata Telenor mempunyai tanggungjawab memaklumkan pengguna Malaysia dan pengawal selia mengenai notis undang-undang yang diterimanya di Norway, dengan menegaskan perkara itu merupakan “risiko material” untuk CelcomDigi dan penggunanya memandangkan “rekod Telenor menyerahkan data sensitif kepada rejim ganas”.
Wilde-Ramsing juga berkata tindakan mangsa Myanmar ini membuka ruang untuk pengguna, pelabur dan masyarakat sivil Malaysia menuntut ketelusan lebih besar serta perlindungan lebih kukuh daripada CelcomDigi.
Berkongsi pandangan sama, peguam Jan Magne Langseth yang mewakili plaintif Myanmar berkata reputasi perniagaan Telenor boleh terjejas sekiranya mahkamah mendapati syarikat itu menyumbang kepada pelanggaran hak asasi di negara tempat ia beroperasi selama beberapa tahun.
“Duluannya ialah syarikat telekomunikasi antarabangsa akan diwajibkan mematuhi hak asasi manusia, tanpa mengira bidang kuasa di mana mereka beroperasi.
“Saya berpendapat saman terhadap Telenor berhubung tindakannya di Myanmar mungkin membuka laluan kepada saman serupa sekiranya pelanggaran hak asasi oleh Telenor atau CelcomDigi terbukti di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
[Baca berita asal]






