Malaysia Oversight

Keputusan 5 Adun Star dah dijangka, bukan baru

By MkiniBM in October 7, 2025 – Reading time 2 minute
Keputusan 5 Adun Star dah dijangka, bukan baru


Presiden Star, Jeffrey Kitingan berkata dia menghormati keputusan lima penyandang kerusi DUN daripada parti itu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berbanding mengikutnya bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang.

Jeffrey menyifatkan perkara itu “bukan perkara baru” dalam perjalanan politiknya.

“Saya menghormati keputusan lima pemimpin STAR yang memilih untuk kekal bersama GRS. Setiap orang mesti bertindak mengikut hati nurani masing-masing. Saya pernah melalui perkara seperti ini sebelum ini, jadi saya tidak terkejut,” katanya dalam satu kenyataan malam Isnin.

Kenyataan Jeffrey itu dibuat selepas Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor, memaklumkan bahawa lima Star akan terus menyokong GRS, selepas parti itu digugurkan daripada gabungan tersebut pada Khamis lalu.

Lima penyandang berkenaan turut memegang pelbagai jawatan penting dalam Star Sabah. Mereka ialah timbalan presiden Ellron Angin (Sook) dan Robert Tawik (Bingkor), Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan) serta Flovia Ng (Tulid).

Keputusan itu menjarakkan mereka daripada presidennya selepas keanggotaan STAR secara automatik terbatal daripada gabungan tersebut kerana memilih untuk bertanding menggunakan logo sendiri.

760a48f13e3228584115fd74665fa180

Hajiji menegaskan bahawa GRS tidak akan menghalang Star atau mana-mana parti lain untuk memilih haluan masing-masing.

“Jika mereka bertanding di bawah logo mereka sendiri, mereka secara automatik terkeluar daripada GRS. Tetapi lima orang ini telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka bersama kami, bukan bersama Jeffrey,” katanya semasa mengumumkan pembubaran DUN.

Tindakan lima penyandang kerusi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Jeffrey terhadap partinya dan sama ada dia terpaksa mencari calon pengganti bagi kerusi-kerusi tersebut.

Masih belum jelas sama ada kelima-lima mereka akan dicalonkan sebagai calon GRS dalam pilihan raya akan datang.

Jeffrey meninggalkan GRS selepas berlaku pertikaian berhubung pembahagian kerusi antara gabungan itu dengan PH dari Semenanjung.

Keputusan untuk bergerak secara solo itu kini menjadikan dia semakin terasing apabila sebahagian besar penyandang kerusi daripada parti itu berpihak kepada Hajiji.

Jeffrey dan beberapa pemimpin GRS turut berdepan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan projek cari gali mineral di negeri itu.

Dua daripada lima penyandang Star – Ellron dan Tawik – didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei, namun Ellron menafikan tuduhan tersebut.



Source link