Ahli perniagaan Vinod Sekhar digambarkan mempunyai imej sosial sebagai seorang ahli masyarakat yang dipercayai kerana hubungannya dengan individu berpengaruh termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata salah seorang daripada 12 individu yang menyamannya sebanyak RM30 juta.
Graham David Bell, 66, dalam kenyataan saksi berkata dia telah melabur kira-kira AS$250,000 pada tahun 2002 melalui syarikat Vinod, Petra Equities Sdn Bhd (PESB), khususnya dalam teknologi Delink dan Deprotin, berdasarkan gambaran tersebut.
Namun, katanya, dia serta pelabur asing lain tidak pernah dimaklumkan mengenai status muflis Vinod yang diisytiharkan pada 8 Jun 2005.
“Pada ketika itu (2021 hingga 2022), selepas meneliti semua laporan media dan jawapan meragukan daripada defendan pertama (Vinod), kami menyedari bahawa kami merupakan mangsa penipuan yang dilakukan olehnya dan dia tidak mempunyai niat untuk memulangkan wang kami (plaintif).
“Defendan pertama menggunakan pelbagai alasan termasuk masalah kesihatannya untuk mengelak soalan plaintif dan terus memperdaya plaintif supaya mempercayai bahawa dia seorang yang boleh dipercayai.
“Jika saya tahu defendan pertama berada dalam keadaan kewangan yang tidak stabil, saya tidak akan melabur dalam mana-mana syarikat di bawah Petra Group atau yang berkaitan dengannya,” katanya melalui keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bell mendakwa meskipun Vinod memberi jaminan dan gambaran bahawa pelaburan itu menjanjikan hasil, akhirnya pelaburannya hanya mengakibatkan dana hilang.
Bell yang merupakan rakan pengurusan Bridge Partners FZE, adalah plaintif keempat dalam saman yang difailkan terhadap Vinod dan isterinya, Winny Yeap Liew Heoh. Dia juga merupakan plaintif pertama dan satu-satunya saksi yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan hari ini, mewakili plaintif lain sebagaimana diperintahkan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Adam @ Edward Abdullah.
Menjelang penghujung perbicaraan, peguam defendan Rajan Navaratnam secara lisan memohon kepada mahkamah agar sebahagian besar keterangan Bell digugurkan atas alasan ia tidak berkaitan dan tidak terkandung dalam pernyataan tuntutan.
“Ini adalah fakta penting (dalam kenyataan saksi Bell) yang tidak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan, yang bermaksud ia tidak boleh dijawab dalam pernyataan pembelaan defendan.
“Oleh kerana tidak dimasukkan dalam tuntutan dan tidak dijawab dalam pembelaan, saya kehilangan peluang untuk menyoal balas fakta ini,” katanya.
Permohonan itu disusuli reaksi peguam plaintif, Colin Andrew Pereira yang menyatakan rasa terkejut terhadap permohonan tersebut.
“Saya benar-benar terkejut. Dia (Rajan) datang dengan persediaan untuk membantah tetapi tidak pernah memberi kami sebarang notis awal. Kami masih belum selesai sesi pemeriksaan semula, bagaimana saya boleh kemukakan isu ini kepada saksi?
“Dia belum pun selesai dengan soal balas, dan saya belum berpeluang melakukan pemeriksaan semula untuk mengesahkan sama ada isu ini sudah dimasukkan atau tidak. Saya tidak akan terburu-buru sekarang sedangkan dia mempunyai masa yang cukup untuk memberi (kami) notis.
“Dengan penuh hormat, permohonan ini terlalu awal,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan Colin sedikit masa untuk menyediakan jawapan terhadap hujahan Rajan, yang akan didengar pada Rabu ini.
Sebelum perbicaraan bermula, hakim menolak permohonan plaintif untuk meminda pernyataan tuntutan mereka dan memerintahkan semua plaintif membayar defendan RM5,000.
Perbicaraan akan bersambung esok di hadapan Hakim Muhammad Adam.
Saman yang difailkan oleh 12 individu terhadap Vinod dan Winny pada 31 Mei 2023 itu menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta, termasuk faedah, atas beberapa faktor termasuk salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.
Mereka mendakwa Vinod telah memujuk mereka melabur wang sama ada melalui dirinya atau melalui pelbagai syarikat miliknya, tanpa mendedahkan status muflisnya pada masa berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata mereka telah menyoal Vinod mengenai status muflis itu melalui e-mel pada 30 September 2020, tetapi dia “mengabaikannya” dan seolah-olah memberi bayangan bahawa seorang bernama ‘Anwar‘ akan menguruskan perkara itu dan bahawa dia rapat dengan ‘Anwar‘.
Plaintif percaya bahawa “Anwar” yang dipetik Vinod itu merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mereka turut menamakan Winny sebagai defendan kedua dalam kes tersebut dengan mendakwa dia bersekongkol dengan Vinod untuk melakukan penipuan, pelanggaran kontrak dan salah nyata terhadap mereka.






