Mahkamah Sesyen di Kuala Selangor hari ini diberitahu seorang saksi bahawa beliau telah menerima panggilan telefon mengenai penemuan objek menyerupai sepucuk pistol di Kampung Bukit Belimbing, ketika bertugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sebelum membuat laporan awal berkenaan kejadian itu.
Saksi pendakwaan pertama Koperal Abdul Hadi Mohamed, 39, pada perbicaraan Sharifah Faraha Syed Husin, 42, yang dituduh memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, berkata beliau menerima panggilan itu daripada Inspektor Wan Ibrahim daripada Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 9.10 malam, 29 Mac 2024.
Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawap soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak, yang bertanyakan sama ada beliau bertugas atau tidak pada hari kejadian, pada hari pertama perbicaraan Sharifah Faraha yang tuduh memiliki sepucuk pistol dipercayai dibekalkan kepada warga Israel, di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili wanita itu ketika pemeriksaan balas, Abdul Hadi bersetuju laporan itu tidak lengkap namun beliau berkata laporan awal yang disediakannya berkaitan kes itu berpandukan maklumat panggilan telefon yang diterimanya.
Pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Jun 2025, suami kepada wanita itu Abdul Azim Mohd Yasin, 44, telah mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya dan mahkamah sama telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan enam sebatan.
Mengikut pertuduhan, Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
Perbicaraan bersambung esok.
– Bernama






