Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, terus menerima kecaman susulan hidangan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.
Beberapa pemimpin politik sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan, menyifatkan alasan Tiong bahawa majlis makan malam itu merupakan inisiatif pihak swasta sebagai tidak boleh diterima.
“Kenyataan Tiong King Sing yang menafikan keterlibatan langsung Tourism Malaysia dengan alasan majlis itu “inisiatif pihak industri” dan bukan di bawah kementerian menunjukkan menteri seolah-olah berlepas tangan.
“Fakta bahawa penyediaan arak berlaku dalam ekosistem acara kerajaan tetap mencalar imej Kerajaan Madani dan menimbulkan kekeliruan masyarakat umum,” kata Ketua Angkatan Wanita Amanah, Masturah Abu Bakar.
Dia turut mengecam kementerian itu kerana menjalin kerjasama strategik dengan Starbucks untuk menghasilkan merchandise eksklusif bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dalam konteks sentimen pengguna Muslim dalam isu Palestin-Israel, pemilihan rakan kongsi global yang kontroversial ini merupakan langkah tidak bijak dan boleh mengundang kemarahan masyarakat.
“Pemilihan tersebut juga tidak mencerminkan semangat Malaysia sebenar, kerana mengabaikan peluang untuk mengetengahkan jenama kopi tempatan yang semakin berkembang dan lebih mewakili wajah industri tempatan,” kata Masturah.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Nabil Halimi pula berkata sehingga kini, tidak ada sebarang permohonan maaf dikemukakan oleh Tiong berhubung isu penyediaan minuman keras dalam acara rasmi kerajaan.
Sebaliknya, katanya, Tiong mengeluarkan kenyataan yang bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
“Ini bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi daripada seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili kerajaan Madani.
“Ia turut memperlihatkan kegagalan pihak kementerian dalam pengawalan dan pengurusan acara rasmi,” katanya yang menggesa satu siasatan dalaman dijalankan berhubung penganjuran majlis itu.
Sementara itu, Pemuda Bersatu menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukan ketegasan terhadap Tiong.
“Sekiranya insiden ini juga tidak diambil tindakan, maka naratif golongan atasan sering terkecuali daripada tindakan undang-undang akan menjadi kukuh secara automatik
“Untuk kesalahan besar berkenaan hidangan arak, kerajaan perlu buktikan bahawa prinsip akauntabiliti itu wujud dalam pentadbiran,” kata Ketua Penerangan Pemudanya, Harris Idaham Rashid.
Terdahulu, Anggota Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.
Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam hidangan arak pada majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya.
Bagaimanapun, Tiong menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Tiong berkata, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari dan hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
MP DAP, Zaid pertahan Tiong
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim pula mempertahankan Tiong.
Dalam kenyataan berasingan, mereka mengkritik kecaman terhadap Tiong dengan menyifatkannya sebagai “histeria politik” semata-mata.
“Tiong meluluskan inisiatif ini untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Ia adalah keputusan praktikal, telus dan menjimatkan kos. Menafikan perkara ini bermakna mengabaikan cabaran sebenar dalam menguruskan industri pelancongan global,” kata Lim.

Lim berkata dia berdiri teguh bersama Tiong dan menegaskan kecaman terhadap acara itu hanya menjejaskan industri pelancongan Malaysia.
“Malaysia perlukan lebih ramai pemimpin yang membuat keputusan berasaskan realiti, bukan ahli politik yang hanya tahu mencetuskan kemarahan,” tambahnya.
Sementara itu, Zaid menyifatkan isu berkenaan sebagai “hipokrasi”, dengan menyatakan kerajaan masih bergantung kepada hasil cukai dari barangan seperti rokok, judi dan alkohol yang secara keseluruhannya menjana hasil sekitar RM6 hingga RM8 bilion setahun.
“Menyerang alkohol secara politik tidak mendatangkan risiko. Tapi menyerang rasuah bermakna menuding jari kepada diri sendiri dan sekutu.
“Jadi apabila acara rasmi kerajaan menghidangkan wain, pemimpin Umno atau PAS akan cepat-cepat mengecam untuk menunjukkan kononnya mereka lebih bermoral dan menuduh orang lain lemah iman. Ia bukan soal agama, tetapi soal ‘penguasaan politik’ terhadap Islam.
“Jika orang Melayu setegas menentang rasuah sebagaimana mereka menentang segelas wain, Malaysia pasti menjadi negara yang jauh lebih bermoral, dan kurang memerlukan SPRM yang aktif berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di X.






