Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) hari ini mempersoalkan motif serta kelulusan yang diberi terhadap majlis makan malam melibatkan menteri yang menghidangkan arak semalam.
Ketuanya, Balendran Balasubramaniam, berkata program itu dilaksanakan di bawah jenama Tourism Malaysia namun menampilkan aktiviti yang tidak selari dengan nilai dan budaya tempatan.
Kataya negara kita tidak melarang pelancong bukan Islam daripada mengambil minuman beralkohol.
“Jika benar program tersebut dianjurkan oleh pihak swasta, Menteri Pelancongan (Tiong King Sing) tetap harus mengambil langkah tegas untuk menghentikan sebarang unsur yang mencemarkan imej Malaysia apabila beliau hadir di majlis tersebut, bukannya turut serta dalam aktiviti yang tidak sepatutnya,” kata Balendran dalam kenyataan hari ini.
Balendran menegaskan, usaha memajukan industri pelancongan tidak seharusnya sehingga mengorbankan maruah, adat, dan akhlak masyarakat Malaysia.
Promosi pelancongan, katanya, patut dibuat berlandaskan kepelbagaian warisan dan budaya negara, bukan dengan penganjuran pesta atau perarakan yang mengangkat elemen bertentangan dengan nilai setempat.

Isu tersebut timbul selepas tersebarnya gambar Tiong yang menghadiri majlis makan malam sempena Global Travel Meet di bawah jenama Tourism Malaysia 2026.
Foto-foto yang tular menunjukkan Tiong dan beberapa tetamu lain memegang gelas wain dan bir, lantas mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dari dalam kerajaan sendiri.
Menjawab kritikan itu, Tiong menafikan minuman beralkohol dihidangkan pada majlis rasmi kerajaan.
Patut jadi pengajaran
Katanya program tersebut pada asalnya dijadualkan sebagai acara rasmi kerajaan, namun selepas kejayaan Global Travel Meet, pihak swasta mengambil alih penganjuran dan pembiayaannya.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut menegaskan pihaknya sedia mendedahkan butiran pembayaran majlis berkenaan bagi membuktikan tiada dana awam digunakan untuk pembelian minuman beralkohol.
Sebelum ini dia turut dikritikan berhubung kerjasama kementeriannya dengan Starbucks untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dianggap sesetengah pihak tidak mencerminkan identiti tempatan.
Balendran berkata kempen pelancongan seharusnya menonjolkan kepelbagaian warisan dan tradisi unik Malaysia, bukannya pesta atau acara yang mencerminkan pengaruh budaya luar.
Justeru, katanya, Pemuda DHPP menuntut Tiong mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu tersebut dan demi menjaga integriti kerajaan, ahli politik terbabit wajar mempertimbangkan desakan orang ramai agar dia melepaskan jawatan.
Balendran menambah, insiden itu harus menjadi pengajaran kepada seluruh anggota pentadbiran kerajaan supaya lebih peka terhadap sensitiviti rakyat serta tidak memperlekeh nilai moral dan budaya bangsa.
“Malaysia tidak boleh terus hanyut dalam budaya barat hingga melupakan jati diri dan nilai ketimuran yang menjadi asas keharmonian kita.
“Rakyat boleh bersabar, tetapi jangan sampai kesabaran itu diuji berulang kali,” katanya.






