Malaysia Oversight

Zaliha jelaskan isu pembangunan Kg Baru, Kg Sungai Baru Khamis ini

By MkiniBM in October 6, 2025 – Reading time 1 minute
Zaliha jelaskan isu pembangunan Kg Baru, Kg Sungai Baru Khamis ini


PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa akan memberi penerangan khusus berhubung pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Parlimen pada Khamis ini.

Katanya, antara isu yang akan dijelaskan termasuklah langkah memastikan penduduk menerima hak mereka dan entiti Melayu kekal di kawasan berkenaan.

Menurut Zaliha sedang meneliti model pembangunan ekonomi lebih kreatif dan lestari bagi mengekalkan komuniti Melayu di bandar, khususnya dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru.

“Insya-Allah Khamis ini saya diberikan masa untuk penerangan menteri khusus untuk Kampung Sungai Baru. Ketika itu nanti banyak lagi perkara yang kita boleh jelaskan dengan lebih terperinci,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan tambahan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu status terkini Kampung Sungai Baru yang dikategorikan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Zaliha berkata perbincangan sedang dijalankan dengan pemaju dan syarikat berkaitan (GLC) termasuk UDA Holdings Bhd bagi mencari bentuk kerjasama terbaik untuk projek itu.

“Yang penting bagi saya ialah memastikan penduduk yang telah bersetuju diberikan rumah yang mereka tunggu lebih sembilan tahun,” katanya.

Dia juga menegaskan komited menjadikan pembangunan dua kampung bersejarah itu sebagai pemangkin kemajuan Kuala Lumpur tanpa menjejaskan nilai warisan Melayu.

Bernama



Source link