Malaysia Oversight

Kerajaan lulus 158 projek inovasi bernilai RM331j

By Utusan in October 6, 2025 – Reading time 2 minute


KUALA LUMPUR: Sebanyak 158 projek inovasi bernilai RM331 juta telah diluluskan di bawah Dana Pemacu sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan (RDIC) negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelulusan tersebut merupakan kesungguhan memastikan hasil penyelidikan tempatan diterjemahkan kepada produk dan penyelesaian yang memberi impak kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Malaysia mempunyai bakat dan idea yang boleh diterjemahkan menjadi produk bernilai tinggi. Namun, penyelidikan sahaja tidak mencukupi. ia mesti dikomersialkan supaya dapat memberi impak sebenar kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, Malaysia kini berada di tangga ke-33 daripada 133 ekonomi dunia dalam Global Innovation Index (GII) 2024, naik tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan itu didorong penglibatan sektor swasta yang berjaya melonjakkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada RM4.61 bilion pada 2020 kepada RM9.33 bilion pada 2022.

“Inovasi merupakan komponen penting bagi kejayaan sesebuah negara. Innovation and embracing change are vital in economic prosperity, satu-satunya cara untuk masyarakat, ekonomi dan perusahaan terus maju dalam era ini adalah dengan bersedia untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“RDCI yang berteraskan usaha sama dan swasta merupakan ramuan tepat menghasilkan produk dan perkhidmatan tempatan yang bernilai tinggi serta mampu meningkatkan perbelanjaan kasar R&D daripada KDNK kepada 2.5 peratus menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerajaan akan memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan ekonomi (RDICE) sebagai teras utama pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara.

Selain Dana Pemacu, kerajaan turut menubuhkan dana Malaysia Science Endowment (MSE) untuk memastikan pembiayaan R&D kekal lestari melalui sumbangan daripada industri, dana antarabangsa serta angel investors.

Katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga membangunkan Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara (NTSF) bagi memperkukuh kemandirian teknologi dalam bidang keutamaan seperti AI, bioteknologi, teknologi hijau, aeroangkasa dan semikonduktor.

Fadillah turut berkata, usaha memperkukuh rantaian nilai daripada penyelidikan hingga ke pengkomersialan amat penting agar hasil sains, teknologi dan inovasi memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi.

“Malaysia harus mengubah cara pemikiran lama dan bergerak daripada sekadar pengguna kepada pengeluar teknologi,” tegasnya.-UTUSAN





Source link