
Discord, platform komunikasi antara gamer yang terkemuka baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa data peribadi pengguna mereka telah digodam dan sejumlah butiran telah dicuri, tetapi akaun-akaun pengguna masih lagi selamat.
Godaman butiran ini bukanlah diakibatkan oleh platform Discord sendiri, tetapi melalui platform perkhidmatan pelanggan pihak ketiga yang secara lazimnya menjawab pelbagai soalan dan kemusykilan oleh pengguna platform tersebut ataupun telah menghantar tiket untuk menyelesaikan masalah berkaitan akaun Discord mereka.
Menurut beberapa laporan, butiran yang telah digodam dan dicuri termasuklah nama penuh, alamat emel, alamat IP, empat nombor terakhir kad debit/kredit pengguna dan nama ID pengguna. Butiran permesejan diantara pengguna dan pihak perkhidmatan pelanggan juga telah dikompromi, tetapi permesejan diantara pengguna masih lagi selamat.
Discord mengatakan bahawa insiden godaman ini telah berlaku pada 20 September yang lalu, dan mereka telah memutuskan sambungan data pengguna daripada syarikat perkhidmatan pelanggan tersebut dan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa tiada butiran sensitif lain telah digodam oleh pihak pengguna.
Pihak Discord juga mengatakan bahawa mereka telah menghantar notis kepada semua pengguna-pengguna mereka yang terkesan dalam godaman ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna juga dinasihatkan untuk menukar kata laluan akaun Discord mereka untuk memastikan bahawa akaun mereka kekal selamat.






