Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan membina bangunan setinggi 60 tingkat di Bukit Damansara yang dibantah penduduk setempat – termasuk orang kenamaan – kelmarin.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, DBKL berkata pihaknya masih dalam peringkat memproses permohonan yang dikemukakan dan tiada keputusan muktamad dibuat.
Pihak berkuasa tempatan itu juga menegaskan sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan ke atas pelan tersebut.
“DBKL ingin menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan,” katanya.
DBKL turut menyatakan mereka menerima permohonan bagi cadangan pelan susun atur untuk perdagangan di atas tiga lot tanah yang seluas 7.98 ekar dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 28 Mei lalu telah menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada dua aspek, iaitu pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan, dan pelawaan pandangan awam.
Kelmarin hampir 300 penduduk Bukit Damansara – termasuk bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin; bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Nazir Razak; dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes; berkumpul untuk membantah pembangunan semula bangunan Wisma Damansara yang kini terabai di Jalan Semantan.

Kumpulan itu mendakwa pembangunan semula berkenaan akan memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas dan memberi kesan kepada alam sekitar.
Dipetik oleh Malay Mail, Khairy membangkitkan persoalan sama ada rancangan itu sudah melibatkan kajian trafik atau tidak sebelum plot yang berkaitan diberikan kepada syarikat pemaju, BRDB Developments Sdn Bhd (BRDB).
“Adakah BRDB telah mengemukakan laporan impak trafik? Berapa banyak lagi yang boleh ditampung oleh jalan ini?” katanya.
Dia yang juga bekas Ketua Pemuda Umno turut membandingkan bangunan yang dicadangkan itu dengan Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.
“Perkara terakhir yang kami mahu ialah Jalan Semantan menjadi satu lagi KLCC. Kami tidak berpindah ke sini untuk tinggal di pusat bandar,” tambahnya.

Presiden Persatuan Pemilik Rumah Bukit Damansara, Ahmad Sufian Abdul Majid, juga menyifatkan projek pembangunan semula itu sebagai “besar” dan menggesa DBKL menyemak semula cadangan berkenaan.
Turut kelihatan pada protes pada 4 Okt itu ialah ketua pembangkang Hamzah Zainudin, peguam hak asasi manusia S Ambiga, dan penyanyi Sheila Majid.
Penduduk mendakwa projek itu mencadangkan nisbah plot 1:9.6 untuk pembangunan semula, yang akan melebihi had 1:6 yang digariskan dalam PTKL2040.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut menyuarakan kebimbangan penduduk dan mengesahkan bahawa dia memfailkan bantahan kepada DBKL pada 15 Ogos lalu dengan surat tersebut dialamatkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Sharif.






