Menteri Pengangkutan Anthony Loke sekali lagi menekankan pentingnya penggunaan kerusi khas untuk bayi (child seat) dalam kenderaan bagi meningkatkan lagi ciri keselamatan jalan raya.
Sempena meraikan Pesta Pertengahan Musim Luruh hari ini, Loke menyampaikan mesej itu melalui iklan yang disiarkan akhbar berbahasa Cina tempatan.
Langkah itu dibuat selepas Loke dikritik kononnya tidak sensitif semasa mengulas kemalangan maut melibatkan lori dan kenderaan lain di Plaza Tol Bukit Kajang pada minggu lalu.
Kejadian pada 27 Sept lalu itu mengorbankan seorang bayi lelaki berusia 16 bulan, dan seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya yang cedera parah pula menghembus nafas terakhirnya semalam.
Pengkritik mengecam Loke kerana mengaitkan insiden tersebut dengan penggunaan kerusi khas tersebut.
Dalam iklan perayaan Kementerian Pengangkutan hari ini, Loke mengingatkan semua pemandu supaya memastikan kanak-kanak diletakkan dalam kedudukan yang betul bagi membolehkan mereka dilindungi daripada bahaya jika berlaku kemalangan.
“Apabila tibanya Perayaan Pertengahan Musim Luruh, bulan penuh dan keluarga berkumpul. Pemandangan yang paling indah bukanlah bulan terang di langit, tetapi senyuman anak anda yang dilihat melalui tingkap kereta.
“Kanak-kanak adalah pengembara terkecil, namun mereka yang paling memerlukan perlindungan. Kerusi keselamatan kanak-kanak mungkin kelihatan seperti tempat duduk, tetapi bagi kanak-kanak, ia adalah perisai daripada bahaya yang tidak dijangka.
“Perlindungan keselamatan ini adalah sesuatu yang hanya boleh diberikan oleh orang dewasa. Jangan biarkan pertemuan semula bertukar menjadi penyesalan – pasangkan tali keselematan pada anak anda di kerusi keselamatan kanak-kanak,” kata iklan berbahasa Cina itu.
Mungkin keadaan akan berbeza
Perayaan Pertengahan Musim Luruh jatuh pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina. Ia merupakan perayaan budaya yang penting bagi melambangkan pertemuan keluarga, meraikan kesyukuran, dan kebersamaan.
Pada 27 Sept lalu sebuah lori dalam perjalanan dari Semenyih menghala ke Putrajaya hilang kawalan di plaza tol tersebut selepas mengalami masalah brek sebelum merempuh tiga kereta yang menunggu di dua lorong berhampiran.
Pemandu lori itu dilaporkan melompat keluar dari kenderaan kerana breknya gagal.
Pada sidang media 29 Sept lalu Loke berkata dapatan awal menunjukkan syarikat pengangkutan terbabit memiliki dua lesen operasi yang sah dan telah mematuhi pemeriksaan berjadual di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Bagaimanapun, Loke mengingatkan syarikat pengangkutan bahawa mereka tetap bertanggungjawab untuk menyelenggara dan memeriksa kenderaan masing-masing secara berkala, bukan sekadar setiap enam bulan seperti yang ditetapkan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati bayi terbabit tidak diletakkan di tempat duduk khas, dan akibat kemalangan itu dia tercampak keluar dari kereta dan tersepit.
Menegaskan dia tidak menyalahkan ibu bapa bayi berkenaan, Loke menegaskan, kementerian sering mengingatkan pentingnya ciri keselamatan diberi perhatian demi kepentingan orang ramai.
“Bayi tersebut tercampak keluar dari kenderaan dan dia tersepit dalam kenderaan yang lain.
“Bayangkan kalau ada child seat, bayi tersebut tidak akan tercampak keluar dan mungkin masih boleh dapat diselamatkan,” katanya.






