MediaTek Dan Oppo Meningkatkan Pengalaman Pengguna Melalui Inovasi Teknologi Terkini
Amy Maizuraa
MediaTek dan Oppo telah lama menjalin kerjasama strategik khususnya dalam pembangunan cip pemprosesan. Ia kemudiannya digunakan secara meluas dalam pelbagai peranti Oppo merangkumi model asas hinggalah ke peranti mercu.

Melalui kerjasama strategik ini, Oppo berjaya menghasilkan peranti yang lebih pantas dan cekap sekali gus memenuhi keperluan pengguna masa kini yang semakin menuntut pengalaman yang lancar. Hubungan teknikal antara Oppo dan MediaTek turut diperkukuh dari semasa ke semasa melalui perkongsian kepakaran serta sokongan berterusan dalam pembangunan cip berprestasi tinggi.
Dalam masa yang sama, MediaTek turut berkongsi pencapaian terkini mereka di mana lebih 1 bilion peranti di seluruh dunia kini telah dihantar dengan cip keluaran MediaTek sebagai pemacu utama. Angka ini bukan sahaja menunjukkan skala global syarikat tersebut tetapi juga keyakinan jenama-jenama besar seperti Oppo terhadap teknologi yang ditawarkan.

Sempena pelancaran Oppo A6 Pro baru-baru ini, pihak Amanz bersama beberapa rakan media tempatan telah berpeluang menyertai sesi temubual eksklusif bersama wakil MediaTek Malaysia termasuk Ketua Wakil Asia. Sesi ini membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang perkembangan semasa syarikat di samping meninjau kerjasama bersama Oppo serta peranan teknologi dalam meningkatkan prestasi peranti terbaru. Berikut ialah wawancara penuh bersama mereka.
Soalan: Apakah sebab utama MediaTek ingin bekerjasama rapat dengan Oppo dalam pembangunan cip pemprosesan?
MediaTek: Kami di MediaTek sentiasa mengutamakan maklum balas daripada pengguna. Maklumat ini membantu kami membangunkan sistem dan teknologi yang lebih baik serta memenuhi keperluan semasa. Untuk memastikan pertumbuhan yang kukuh dan berterusan, kami menjalin kerjasama erat dengan rakan industri yang sehaluan.

Oppo muncul sebagai rakan kongsi yang tepat. Mereka berkongsi maklumat pengguna secara terbuka dan menyokong usaha kami dalam menyesuaikan teknologi agar lebih relevan dan berkesan. Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan mutu produk dan memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik.
Soalan: Boleh terangkan secara ringkas tentang peranan penting cip pemprosesan dalam pembangunan telefon pintar mudah alih pada masa hadapan?
MediaTek: Cip pemproses memainkan peranan utama dalam menentukan prestasi dan keupayaan sesebuah telefon mudah alih. Dalam pembangunan masa hadapan, kami memberi tumpuan kepada pelbagai segmen pasaran yang mempunyai keperluan berbeza.
Secara umum, kami mengenal pasti tiga kategori utama iaitu segmen mercu, segmen premium dan segmen permulaan. Setiap segmen ini memenuhi keperluan kumpulan pengguna yang berbeza dan memerlukan pendekatan teknologi yang khusus.

Kami memulakan pembangunan teknologi melalui segmen mercu kerana inovasi lazimnya bermula di sini. Segmen ini berfungsi sebagai platform awal untuk menguji tahap penerimaan pasaran terhadap teknologi baharu.
Ia juga membolehkan kami menghasilkan penyelesaian yang benar-benar unik dan berimpak tinggi. Selepas itu, kami mengumpul maklumat daripada pengeluar peralatan asal (OEM) untuk memahami keperluan sebenar pelanggan. Berdasarkan maklum balas ini, kami menyesuaikan teknologi agar sesuai untuk segmen lain.
Proses ini melibatkan kajian pasaran, tinjauan pengguna dan perbincangan bersama pelanggan, studio serta pembangun. Kami akan terus menggunakan pendekatan ini pada masa hadapan. Kami akan bekerjasama rapat dengan pelanggan dan pembangun EMS membangunkan teknologi baharu dan menyesuaikannya mengikut keperluan setiap segmen pasaran.
Soalan: Sempena pelancaran Oppo A6 Pro, boleh kongsikan apakah perkara utama yang menjadi tumpuan MediaTek untuk pengguna permainan mudah alih (permua)? Adakah ia berkaitan dengan sistem penyejukan, sambungan rangkaian, kelancaran permainan atau grafik?
MediaTek: Kami memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting dalam meningkatkan pengalaman permainan mudah alih (permua). Semua elemen seperti kelancaran permainan, kestabilan rangkaian, kecekapan tenaga dan kualiti grafik digabungkan dalam platform teknologi kami yang dikenali sebagai HyperEngine.

Teknologi HyperEngine direka untuk memastikan permainan berjalan dengan lancar dan stabil sambil mengoptimumkan penggunaan kuasa. Kami memberi perhatian khusus kepada sambungan rangkaian kerana kami sedar bahawa gangguan rangkaian boleh menjejaskan pengalaman pengguna. Oleh itu, kelancaran permainan dan kestabilan rangkaian menjadi dua fokus utama dalam pembangunan teknologi ini.
Kualiti grafik juga memainkan peranan penting, namun tahap keutamaan bergantung kepada segmen pasaran yang disasarkan. Untuk teknologi berkaitan grafik dan kecerdasan bautan (AI), kami memulakan pembangunan daripada segmen mercu terlebih dahulu sebelum menyesuaikannya untuk segmen lain.
Soalan: Adakah MediaTek merancang untuk membangunkan cip komputer riba yang mampu bersaing dengan Snapdragon dalam kategori prestasi tinggi?
MediaTek: Terima kasih atas soalan tersebut. Fokus utama kami di MediaTek adalah pembangunan cip untuk telefon pintar. Bidang ini menjadi keutamaan kami, dan kami terus memperkukuh kedudukan melalui inovasi serta kerjasama strategik.
Pasaran telefon pintar menunjukkan potensi besar dengan permintaan yang berterusan. Justeru, kami menumpukan sepenuhnya sumber dan kepakaran untuk membangunkan cip yang memenuhi keperluan pengguna dalam segmen ini.

Walaupun kami tidak memberi tumpuan khusus kepada cip komputer riba setakat ini, kami turut menyokong sektor lain seperti Internet Benda (IoT), peranti pintar dan aplikasi industri. Cip yang kami bangunkan bersifat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap industri.
Soalan: Apakah yang membezakan kerjasama Oppo dan MediaTek berbanding jenama lain yang turut menggunakan cip pemprosesan MediaTek?
MediaTek: MediaTek dan Oppo telah menjalin kerjasama selama lebih dua dekad. Sepanjang tempoh tersebut, kami membina keserasian teknikal yang kukuh dan saling menyokong dalam reka bentuk serta pembangunan produk. Kami bukan sahaja membekalkan pemproses berprestasi tinggi, malah turut bekerjasama rapat dengan Oppo dalam proses peningkatan keupayaan peranti.

Apa yang membezakan kerjasama ini berbanding jenama lain ialah tahap integrasi dan penyesuaian teknologi yang kami lakukan bersama. Oppo menghantar pasukan jurutera khusus untuk bekerjasama secara langsung dengan kami. Mereka menyesuaikan prestasi pemproses dengan teliti bagi memastikan ia berfungsi pada tahap optimum mengikut keperluan peranti dan pengalaman pengguna yang disasarkan.
Walaupun banyak jenama lain turut menggunakan pemproses MediaTek, setiap pengeluar peralatan asal (OEM) mempunyai pendekatan tersendiri. Kami membekalkan pemproses yang fleksibel dan berkuasa, namun hasil akhir bergantung kepada cara OEM memanfaatkan teknologi tersebut. Oppo menggunakan kepakaran dan kaedah penyesuaian mereka untuk meningkatkan prestasi pemproses secara unik, sekali gus menghasilkan peranti yang lebih pantas, lancar dan responsif.
Soalan: Apakah fokus utama Oppo apabila bekerjasama dengan MediaTek?
MediaTek: Oppo memberi tumpuan utama kepada prestasi permainan mudah alih (permua). Mereka komited untuk menawarkan pengalaman permainan yang terbaik kepada pengguna dan hal ini menjadi asas kerjasama kami.
Kami memahami keutamaan Oppo dan menyesuaikan prestasi cip kami agar memenuhi jangkaan mereka. Dalam setiap pembangunan, kami memastikan cip yang digunakan oleh Oppo dioptimumkan terlebih dahulu supaya mereka dapat mencapai tahap prestasi tertinggi dalam segmen permua.
Soalan: Adakah MediaTek menyokong inisiatif pembangunan kendiri seperti simulasi perisian atau aplikasi eksperimen?
MediaTek: Buat masa ini, kami tidak memfokuskan kepada inisiatif pembangunan kendiri seperti simulasi perisian. Fokus utama kami ialah membangunkan cip pemprosesan yang memenuhi piawaian industri dan boleh digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis peranti.

Kami bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai reputasi kukuh dan memastikan teknologi kami menyokong aplikasi berskala besar serta penggunaan komersial. Walaupun kami menghargai minat terhadap pembangunan secara kendiri, setiap cip yang kami hasilkan perlu melalui proses kawalan mutu yang ketat agar sesuai untuk kegunaan industri. Oleh itu, kami tidak menyokong secara langsung inisiatif pembangunan kendiri buat masa ini.
Soalan: Apakah cabaran utama dalam menyesuaikan cip pemprosesan dengan pelbagai teknologi seperti GPU, CPU dan seni bina sistem?
MediaTek: Setiap cip pemprosesan kami menggabungkan komponen utama seperti GPU, CPU dan seni bina sistem yang kompleks. Cabaran utama kami ialah memastikan semua elemen ini berfungsi secara selaras dan saling menyokong untuk memenuhi keperluan teknologi serta aplikasi moden.
Kami turut menyesuaikan seni bina cip bagi menyokong inovasi seperti fotografi pintar, permainan berasaskan grafik tinggi dan kecerdasan buatan. Untuk mencapai matlamat ini, kami menilai prestasi, kecekapan tenaga dan keserasian teknologi secara menyeluruh agar setiap cip yang dihasilkan mampu memberikan pengalaman pengguna yang lancar dan berkuasa.
Soalan: Oppo A6 Pro dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 6300. Dalam pasaran pertengahan yang sangat kompetitif, apakah inovasi utama yang menjadikan peranti ini menonjol?
MediaTek: Oppo A6 Pro merupakan antara peranti terawal dalam segmen pertengahan yang menggunakan teknologi HyperEngine kami secara menyeluruh. Sebelum ini, teknologi ini hanya tersedia untuk peranti kelas mercu. Dengan Dimensity 6300, kami berjaya meluaskan penggunaan HyperEngine melalui kerjasama rapat bersama pembangun permainan bagi memastikan keserasian dan prestasi optimum.
Antara kelebihan utama yang ditawarkan termasuk penggunaan kuasa yang rendah dan prestasi permainan yang stabil. Ciri paling menonjol ialah keupayaan mengekalkan kadar bingkai tinggi secara berterusan, yang kami kenali sebagai sustained FPS.

Industri sebelum ini banyak menekankan kadar bingkai tinggi seperti 120FPS atau 144FPS, namun cabaran sebenar ialah mengekalkan kadar tersebut dalam tempoh yang panjang. Dalam ujian dalaman, cip pemprosesan ini berjaya mengekalkan 120FPS selama lebih tiga jam bergantung kepada jenis permainan. Malah, dalam beberapa ujian ekstrem, prestasi tersebut kekal stabil selama lima jam penuh, bermula daripada bateri penuh sehingga habis.
Prestasi ini bergantung kepada tahap sokongan grafik dan jenis permainan, namun pencapaian ini membuktikan bahawa Dimensity 6300 bukan sahaja menawarkan prestasi tinggi, malah mampu mengekalkannya secara konsisten dalam segmen pertengahan.
Soalan: Apakah pendekatan MediaTek dalam memilih teknologi untuk produk mercu dan premium?
MediaTek: Kami mengutamakan pemilihan teknologi berdasarkan keperluan khusus setiap produk yang akan dilancarkan. Bagi segmen mercudan premium, kami menilai secara teliti teknologi CPU dan GPU yang paling sesuai untuk menyokong prestasi tinggi. Kami turut memilih rakan industri yang berupaya memanfaatkan teknologi tersebut secara optimum agar setiap cip yang dibangunkan dapat memberikan nilai tambah kepada pengguna. Pendekatan strategik ini, yang merangkumi pemilihan rakan kongsi dan penyesuaian teknologi, menjadi asas kepada kejayaan cip pemprosesan kami dalam pasaran global.
Soalan: Oppo A6 Pro dilengkapi dengan bateri 6500mAh. Bagaimanakah MediaTek mengoptimumkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan prestasi peranti?
MediaTek: Bateri berkapasiti 6500mAh sangat sesuai untuk menyokong penggunaan intensif seperti permainan mudah alih dan penstriman video. Namun, kapasiti bateri yang besar sahaja tidak mencukupi. Cip pemprosesan memainkan peranan penting dalam mengurus penggunaan tenaga secara pintar dan cekap.
MediaTek membangunkan teknologi yang membolehkan pengeluar memanfaatkan sepenuhnya kapasiti bateri tersebut. Melalui gabungan cip Dimensity 6300 dan teknologi Hyper Engine, kami memastikan prestasi tinggi dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang tanpa menghasilkan haba berlebihan atau menjejaskan kualiti grafik.

Cip pemprosesan ini melaraskan operasi CPU dan GPU mengikut keperluan semasa, bagi mengekalkan kadar bingkai tinggi secara konsisten. Pendekatan ini membolehkan pengguna menikmati pengalaman permainan yang lancar dan stabil selama berjam-jam walaupun dengan grafik yang intensif.
MediaTek bukan sekadar membekalkan cip pemprosesan tetapi kami memastikan teknologi yang dibangunkan dapat memaksimumkan potensi bateri berkapasiti besar seperti 6500mAh melalui pengurusan tenaga yang efisien dan kawalan haba yang bijak.
Soalan: Bagaimanakah MediaTek meyakinkan pengguna untuk beralih kepada cip pemprosesan mereka, memandangkan dominasi jenama lain dalam pasaran?
MediaTek: Kami mengakui bahawa jenama lain seperti Snapdragon mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan pengguna. Namun, kami melihat perubahan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini. MediaTek kini mendominasi segmen permulaan dan pertengahan dan semakin banyak peranti mercu turut menggunakan cip pemprosesan kami.

Kami percaya bahawa prestasi sebenar menjadi penentu utama kepercayaan pengguna. Oleh itu, kami menjalankan ujian menyeluruh bersama pembangun dan pengeluar peranti bagi memastikan cip kami memberikan pengalaman terbaik. Kami juga memperluaskan kehadiran kami ke pasaran luar China termasuk Asia Tenggara dan India.
Strategi kami ialah memperkenalkan teknologi seperti Hyper Engine secara meluas serta membuktikan kepada pengguna bahawa cip pemprosesan MediaTek bukan sahaja setanding malah mampu mengatasi pesaing utama dari segi kecekapan dan prestasi.
Soalan: Apakah langkah MediaTek dalam memperluaskan pengaruh ke pasaran Asia Tenggara?
MediaTek: Asia Tenggara bukan sekadar pasaran baharu bagi kami tetapi medan strategik yang penuh dengan peluang. Negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand menjadi fokus utama kerana kadar pertumbuhan teknologi yang pesat serta corak penggunaan yang unik.
Kami tidak hanya memerhati dari jauh. Kami turun ke lapangan untuk memahami keperluan rangkaian, tingkah laku pengguna dan budaya teknologi tempatan. Dengan maklumat ini, kami menyesuaikan cip pemprosesan kami agar benar-benar serasi dengan gaya hidup digital di rantau ini.

Kami menjalin kerjasama erat dengan pengeluar peranti dan pembangun aplikasi tempatan, bukan sekadar sebagai pembekal teknologi, tetapi sebagai rakan inovasi. Matlamat kami ialah memastikan setiap cip yang kami hasilkan mampu memberikan pengalaman yang relevan dan berkesan kepada pengguna Asia Tenggara.
Soalan: Adakah MediaTek mempunyai rancangan untuk meluaskan kerjasama dengan pembangun permainan?
MediaTek: Sudah pasti. Kami melihat industri permainan sebagai satu ekosistem dinamik yang memerlukan penyelarasan teknikal menyeluruh. Pengalaman permainan yang berkualiti tinggi tidak bergantung kepada satu elemen sahaja. Ia menuntut kerjasama erat antara pemproses, pembangun permainan dan pengeluar peranti.

Di MediaTek, kami memulakan kerjasama dari peringkat awal pembangunan. Kami menjalankan ujian prestasi bersama pembangun bagi memastikan pemproses kami menyokong keperluan grafik, kadar bingkai dan respons masa sebenar secara optimum. Kami turut menyediakan platform ujian dan sokongan teknikal agar pembangun dapat menyesuaikan permainan mereka dengan keupayaan sebenar sistem kami.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap keserasian, malah mempercepatkan masa ke pasaran bagi judul permainan baharu. Hasilnya, pengguna menikmati pengalaman permainan yang lancar, stabil dan responsif tanpa kompromi. Kerjasama teknikal bersama pembangun membolehkan kami memastikan setiap pemproses yang dibangunkan benar-benar bersedia untuk menyokong judul terkini dengan prestasi yang diyakini dan konsisten.
Sesi wawancara bersama MediaTek dan Oppo Malaysia berakhir dengan satu mesej yang konsisten di mana kedua-dua jenama terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan teknologi yang memberi nilai kepada pengguna.

MediaTek kini memainkan peranan penting dalam membentuk prestasi peranti moden melalui cip pemprosesan yang cekap dan responsif.Oppo pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang memahami keperluan pengguna tempatan, dengan pendekatan reka bentuk dan integrasi teknologi yang seimbang.
Bagi pengguna yang ingin merasai sendiri hasil gabungan teknologi ini, Oppo A6 Pro kini tersedia di pasaran Malaysia pada harga RM1,099.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






