PARLIMEN | Sesuatu rang undang-undang (RUU) boleh diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa melalui jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSSC) yang berkaitan, kata speakernya, Johari Abdul.
Menjelaskan perkara itu dalam Dewan Rakyat pagi ini, Johari berkata, PSSC bukanlah sebahagian daripada proses untuk meluluskan RUU sebaliknya badan itu berfungsi sebagai tempat untuk pihak kementerian mendapatkan maklum pandangan balas mengenai cadangan yang dikemukakan.
Kata Johari, sesuatu RUU yang diluluskan oleh parlimen tanpa dirujuk kepada PSSC tetap sah dan dianggap melalui proses yang sepatutnya.
“Pembentangan kepada PSSC bukanlah sebahagian daripada proses meluluskan sesuatu RUU, sebaliknya ia menjadi platform rasmi untuk kementerian mendapatkan maklum balas awal berhubung RUU yang akan dibentangkan,” katanya.
Walaupun tidak dibuat dengan rujukan secara khusus, kenyataan Johari itu dipercayai dibuat bagi menangani kritikan terhadap Dewan Rakyat kerana membenarkan beberapa RUU dibawa ke peringkat bacaan kedua tanpa diteliti terlebih dahulu oleh PSSC berkaitan.
Ia termasuk RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Perolehan Kerajaan 2025.
Kata Johari memang menjadi tanggungjawab PSSC untuk meneliti sesuatu RUU yang dibentangkan untuk bacaan pertama dan boleh memanggil kementerian berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Johari juga menasihatkan ahli parlimen agar mentafsir sesuatu arahan tetap parlimen secara menyeluruh dan bukannya selektif.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang dibuat boleh mengelirukan masyarakat demi menjaga kewibawaan dewan yang mulia ini,” katanya.






