Sekurang-kurangnya dua parti komponen PH di Sabah sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang menggunakan logo masing-masing dan bukan logo gabungan itu.
Ini berikutan rasa tidak puas hati terhadap formula pembahagian kerusi yang dipersetujui bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Difahamkan, kedua-dua parti tersebut — DAP dan Upko — sedang membincangkan pilihan itu secara dalaman selepas rundingan berkenaan menyebabkan mereka tersepit antara tuntutan PKR dan Amanah.
Seorang sumber dalam DAP berkata rasa kecewa itu berpunca daripada formula yang dicapai dalam rundingan bersama GRS.
“(Berdasarkan formula itu) DAP perlu berkongsi dengan Upko lima kerusi masing-masing, sementara Amanah juga menuntut lima, dan PKR mahu 13 kerusi. Itulah puncanya,” kata sumber tersebut.

Dalam pilihan raya negeri lalu, DAP bertanding di tujuh kerusi dan memenangi enam daripadanya. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata parti itu berhasrat mempertahankan semua enam kerusi yang dimenanginya.
Sementara itu, sumber daripada Upko mengesahkan perbincangan mengenai penggunaan logo sendiri sedang berlangsung.
“Kami tidak menolak logo PH, tetapi kami juga tidak boleh mengabaikan tekanan daripada akar umbi. Jika agihan tidak adil, maka kami perlu mempertimbangkan pilihan lain,” kata sumber itu.
Berdasarkan cadangan ketika, PH dijangka menuntut 23 kerusi — 13 untuk PKR dan kira-kira lima kerusi masing-masing untuk DAP serta Upko. Sementara itu, Amanah Sabah, meskipun tiada kerusi yang disandangnya, turut menuntut lima kerusi.
Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan DAP dan Upko yang bimbang akan kehilangan ruang untuk mempertahankan kerusi mereka.
Masalah ini menjadi lebih rumit dengan adanya kerjasama PH bersama GRS, yang bercadang untuk bertanding di 55 kerusi — meninggalkan hanya 18 kerusi yang masih tersedia.
PH juga perlu mengambil kira tuntutan rakan sekutunya yang lain, iaitu BN, yang berhasrat bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi — kemungkinan besar menentang GRS.

Menurut sumber PH, isu ini bukan lagi soal logo semata-mata, tetapi soal kelangsungan, apabila parti-parti kecil dalam gabungan itu menimbang sama ada identiti mereka lebih terpelihara di bawah logo gabungan atau dengan bergerak secara bebas.
Dengan pembubaran DUN dijangka berlaku pada bila-bila masa, DAP dan Upko kini berada di bawah tekanan untuk memuktamadkan pendirian masing-masing.
“Ini soal keadilan. Jika rundingan itu tidak adil, maka bertanding menggunakan logo sendiri adalah satu kemungkinan sebenar,” kata seorang lagi sumber dalaman PH.
Dalam pilihan raya negeri sebelum ini, DAP dan Amanah bertanding menggunakan logo Warisan sebagai sebahagian daripada gabungan Warisan Plus ketika itu, manakala PKR dan Upko menggunakan logo masing-masing.






