Malaysia Oversight

Biayai kesihatan awam, mansuh subsidi gula – MMA

By MkiniBM in October 5, 2025 – Reading time 3 minute
Biayai kesihatan awam, mansuh subsidi gula – MMA


Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan agar Belanjawan 2026 menumpukan kepada peningkatan perbelanjaan kesihatan awam dengan memansuhkan subsidi gula dan memperluaskan cukai ke atas minuman bergula.

Dalam kenyataan hari ini, MMA mencadangkan agar hasil kutipan itu disalurkan semula kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam daripada 2.4 peratus kepada sekurang-kurangnya lima peratus KDNK negara.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan tabiat pemakanan tidak sihat, tetapi juga menyalurkan sumber kewangan terus kepada pengukuhan sistem kesihatan… Kesihatan perlu dilihat sebagai satu pelaburan untuk masa depan Malaysia, bukan sekadar perbelanjaan,” kata Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu.

Pada tahun 2022, KKM bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerbitkan laporan yang menunjukkan bahawa kos rawatan diabetes pada tahun 2017 mencecah RM4.38 bilion, mengatasi kos rawatan penyakit kronik lain seperti penyakit kardiovaskular (RM3.39 bilion) dan kanser (RM1.34 bilion).

Laporan itu juga menganggarkan sekurang-kurangnya satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, dengan rawatan penyakit tersebut merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kos rawatan kesihatan tahunan negara.

7667369289bcfc28ae44af9ea5d69a84

Tahun lalu, mencadangkan untuk mengeluarkan gula daripada senarai barangan kawalan harga serta memperluaskan cukai ke atas minuman bergula (SSB) dalam Belanjawan 2025.

Harga runcit gula di Malaysia dihadkan pada kadar RM2.85 sekilogram sejak tahun 2011, walaupun harga gula mentah dunia meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

pernah memansuhkan subsidi gula pada tahun 2013, namun apabila harga pasaran melebihi harga kawalan, terpaksa memperkenalkan semula subsidi kepada pengeluar pada November 2023, dengan jumlah subsidi awam sebanyak RM1 sekilogram, melibatkan perbelanjaan sekitar RM42 juta sebulan.

Cadang naikkan caj kesihatan awam

MMA turut mencadangkan agar caj rawatan kesihatan awam dinaikkan daripada RM1 kepada RM5 di klinik kesihatan primer, dan daripada RM5 kepada RM25 di klinik pakar kerajaan, bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Hasil kutipan itu, kata MMA, harus disalurkan kepada penyelenggaraan dan penambahbaikan fasiliti kesihatan, sambil mengekalkan pengecualian bayaran untuk golongan B40.

MMA turut menegaskan bahawa kekurangan tenaga kerja dan isu penghijrahan pakar perubatan (brain drain) adalah keutamaan mendesak yang perlu ditangani dalam belanjawan akan datang.

d923c64b1aec1ca5052e1824f8c6bbd0

Mereka menyambut baik komitmen kerajaan untuk memansuhkan sistem doktor kontrak, serta menggesa agar semua doktor kontrak sedia ada diserap ke jawatan tetap.

“Sokongan lebih besar perlu diberikan kepada latihan pascasiswazah melalui laluan sarjana dan laluan parallel (paralel pathway) bagi menggalakkan pengkhususan.

“Elaun on-call doktor kini terlalu rendah, hanya RM9.16 sejam. Kami menggesa kenaikan kepada RM25 sejam sebagai pelarasan wajar yang mencerminkan beban kerja, tanggungjawab, dan pengorbanan,” tambah MMA.

Cadangan kerjasama sektor awam–swasta

Bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), MMA menegaskan kerugian akibat NCD dianggarkan RM64.2 bilion setahun, bersamaan kira-kira 4 peratus daripada KDNK Malaysia, dan menyeru agar kerjasama awam–swasta diperhebat bagi mengurangkan tekanan terhadap fasiliti kesihatan awam.

MMA mencadangkan agar kerajaan menyerahkan sepenuhnya pelaksanaan program imunisasi kebangsaan, pemeriksaan kesihatan praperkhidmatan penjawat awam, serta pemeriksaan kesihatan pra-kemasukan universiti awam kepada doktor GP swasta melalui model perkongsian awam–swasta yang tersusun.

c4ddaa74c8286af6571965ce2d2f92c5

“Langkah ini akan meringankan beban pada sistem kesihatan awam, dengan semua rekod perubatan dikekalkan secara selamat melalui platform MySejahtera,” jelas MMA.

MMA turut mencadangkan agar hospital swasta diberikan insentif cukai untuk meminjamkan mesin diagnostik selepas waktu pejabat, bagi memaksimumkan sumber sedia ada, serta menyarankan integrasi rasmi antara fasiliti kerajaan dan swasta disokong melalui Dana Digital KKM–MCMC.

“Rangka kerja tadbir urus juga perlu dimodenkan, bermula dengan semakan Akta PHFSA yang sudah lapuk.

“Bukti menunjukkan kerjasama awam–swasta berkesan – semasa Covid-19, kerjasama GP–KKM membolehkan Malaysia mencapai antara kadar vaksinasi tertinggi di dunia. Kejayaan ini perlu diteruskan dalam program kesihatan negara,” tambah kenyataan itu.

d69efba6148845076bdea72dc278f86b

Isu lain dibangkitkan MMA ialah peningkatan kos penjagaan warga emas dan rawatan paliatif, yang diunjurkan mencecah RM21 bilion pada tahun 2040 seiring dengan Malaysia menuju status negara tua.

Justeru, menurutnya, belanjawan akan datang perlu bersiap menghadapi perubahan demografi ini dengan melabur dalam latihan perkhidmatan geriatrik, serta menyokong doktor GP swasta yang berminat untuk menceburi bidang geriatrik melalui program latihan dan peningkatan kemahiran.

MMA juga menggesa kerajaan meningkatkan perbelanjaan bagi pendigitalan sistem kesihatan, termasuk menaik taraf aplikasi MySejahtera dan meningkatkan liputan internet serta rangkaian mudah alih di semua fasiliti kesihatan selaras dengan keperluan digital dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

“Dengan kerjasama yang lebih kukuh, pembiayaan yang lebih baik, dan pengagihan sumber yang lebih adil, Malaysia dapat mengurangkan komplikasi NCD, menjimatkan berbilion ringgit dalam kehilangan produktiviti, dan melindungi populasi warga emasnya.

“Kami bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh dan menambah baik sistem kesihatan negara,” kata MMA.



Source link