Malaysia Oversight

DAP pertahan semua kerusi disandang, kata Loke

By MkiniBM in October 5, 2025 – Reading time 2 minute
DAP pertahan semua kerusi disandang, kata Loke


DAP akan mempertahankan semua enam kerusi yang dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, kata setiausaha agungnya Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata parti itu juga akan bertanding di satu atau dua lagi kerusi DUN pada PRN itu nanti.

“Satu atau dua lagi kerusi ini kita telah runding untuk memastikan kemenangan bersama,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-23 di Ipoh hari ini.

Pada PRN Sabah yang lalu, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi, iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.

Bagaimanapun, dua bekas wakil rakyat DAP dari Elopura dan Sri Tanjong menyertai Warisan pada 2022.

Sementara itu, ditanya pemberita sekiranya DAP akan memperketatkan kriteria pemilihan calon,  Loke berkata parti itu tidak gusar dan yakin dengan pemimpin pelapis di Sabah, selain isu lompat parti juga telah termaktub di dalam perlembagaan parti dengan wakil rakyat yang khianat akan gugur kelayakan sebagai ahli.

“Apabila hilang kelayakan ahli, mereka akan hilang kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan di negeri dan juga di peringkat Parlimen yang ada akta antilompat parti. Di Sabah juga ada undang-undang berkenaan,” katanya.

Loke berkata kerusi penyandang menjadi asas utama rundingan antara PH dan bagi menghadapi PRN Sabah dan yakin formula itu akan memperkukuh kerjasama untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam ucapannya berkata dia dimaklumkan oleh Bendahari Perak Sham Mat Sahat bahawa Jawatankuasa Badan Perhubungan Perak sebulat suara mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16 ) akan datang.

“Kita harap bila mana bergabung dengan PH, kita bukan sahaja mampu mentadbir Perak, tetapi kita akan menang majoriti dua pertiga di penggal akan datang,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP.

-Bernama



Source link