Malaysia Oversight

Roger Ng beritahu mahkamah kenal Jho Low sejak penubuhan TIA pada 2009

By MkiniBM in April 24, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Wa memberitahu Mahkamah Tinggi di hari ini bahawa dia mengenali ahli perniagaan yang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, semasa penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ng, 53, yang disabitkan kesalahan di New York pada 2013 kerana membantu dalam penyelewengan dana 1MDB dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, berkata demikian ketika disoal peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang berkaitan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion.

“Ada timbul khabar angin bahawa Terengganu berhasrat menubuhkan dana kekayaan berdaulat ketika itu. Ini berlaku pada 2009 semasa saya bekerja di bahagian perbankan pelaburan Goldman Sachs,” kata Ng.

Muhammad Shafee: Bolehkah dikatakan bahawa Jho Low adalah orang yang mendekati anda untuk berhubung dengan Goldman Sachs?

Ng: Bagi proses penerimaan pelanggan di Goldman Sachs, sepanjang ingatan saya kami biasanya terlibat dengan pelanggan berpotensi. Saya boleh katakan bahawa kami sentiasa mencari pelanggan berpotensi. Saya tidak ingat siapa yang mendekati siapa dahulu, tetapi secara umum, ia adalah proses bersama.

0ae8b9537176094e311b4649dda1f449

Ng yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-25 turut memberitahu mahkamah bahawa bekas pegawai atasannya Tim Leissner, telah didakwa dan mengaku bersalah berhubung transaksi berkaitan 1MDB. Bagaimanapun Jho Low didakwa tanpa kehadirannya (in absentia).

Muhammad Shafee: Adakah anda atau sesiapa di antara pihak anda, didakwa bersubahat dengan Datuk Seri Najib dalam kes itu?

Ng menjawab: “Saya rasa tidak”.

Pada 30 Okt 2024, Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan memerintahkan beliau untuk membela diri.

Najib, 71, berdepan dengan 25 pertuduhan secara keseluruhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

– Bernama



Source link