Bekas timbalan speaker Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad, tampil membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap satu rakaman audio yang didakwa mengaitkan dirinya dalam konspirasi politik.
Mohamad Ali, yang juga bekas timbalan pengerusi Umno Melaka, turut mendakwa secara terbuka bahawa suara dalam rakaman tersebut adalah milik Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
“Saya ingin tegaskan bahawa secara terbuka saya berani katakan suara yang tular itu adalah suara Rauf.
“Ini cabaran saya. Kalau saudara (Rauf) anggap ini satu fitnah, satu perkataan yang akan merosakkan namanya, saya cabar Rauf buat laporan polis untuk polis menyiasat siapa sebenarnya yang mengadakan konspirasi jahat, yang memberikan rasuah kepada mereka yang disuruh melakukan kerja-kerja terkutuk ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Ali yang kini merupakan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, membuat laporan polis berhubung audio tersebut di Balai Polis Dang Wangi.
Beberapa rakaman audio itu sebelum ini tular di media sosial, dipercayai merakam perbualan antara dua individu – salah seorang digelar sebagai “bos”.

Dalam klip pertama, perbualan antara “bos” dan seorang individu tidak dikenali itu dipercayai membincangkan laporan yang akan dibuat “di balai”, merujuk kepada balai polis.
Klip kedua pula mengandungi perbincangan antara ‘bos’ berkenaan dengan seorang lagi individu berhubung status “laporan” yang telah pun dibuat, serta janji ganjaran daripada ‘bos’ selepas tugas yang diarahkan selesai.
Pada 15 April lalu, Mohamad Ali ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM berkaitan dakwaan rasuah.
Ab Rauf kemudiannya menafikan sebarang penglibatan dalam perkara itu dan berkata spekulasi yang mengaitkan dirinya tidak mempunyai sebarang asas.
Semalam, Pengerusi Umno Melaka itu menegaskan dia mengetahui dalang di sebalik penyebaran beberapa audio mirip suaranya, dan menyifatkannya sebagai permainan politik untuk menjejaskan karakternya.
Rauf dilaporkan berkata dia tidak terkesan dengan tindakan sedemikian dan tidak bercadang untuk membuat laporan polis.
Hantar audio ke London, Thailand dan Indonesia
Sementara itu Mohamad Ali berkata dia juga menghantar rakaman itu untuk dianalisa oleh beberapa syarikat forensik antarabangsa.

“Saya juga membuat forensik suara audio ini di London, Thailand, dan Indonesia.
“Jadi saya ambil satu inisiatif forensik di peringkat antarabangsa dan ketiga-tiga syarikat ini diiktiraf oleh forensik dunia. Saya nak tengok perbandingan itu nanti,” katanya.
Dia turut menggesa pihak polis menyiasat perkara ini dan yakin pihak berkuasa dapat memberi keadilan sewajarnya.
“Saya menyahut cabaran untuk saya tampil buat laporan polis kerana yakin polis akan siasat, akhirnya dapat menemukan dalang yang dikatakan oleh Rauf.
“Kalau dia nak cuba mengelak tetapi yang penting pada saya, dia kata ini satu sandiwara, satu cerita.
“Bagi menamatkan cerita wahai saudara rauf, dia mesti buat satu laporan polis bagi menyatakan audio atau suara yang tular bukan suara kamu,” kata Mohamad Ali lagi.