Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meletakkan jawatan berhubung dua isu besar — Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Kuala Lumpur.
Berucap pada perhimpunan anjuran pembangkang di ibu negara hari ini, Hamzah membidas penggubalan RUU berkenaan serta kekejaman rejim Zionis yang disokong Amerika Syarikat di Gaza.
Hamzah mendakwa beberapa ahli parlimen kerajaan, termasuk daripada Umno dan PKR, telah menyatakan sokongan untuk menolak RUU PSB.

“Kami ahli Parlimen pembangkang dari mula telah menolak, bukan hanya pembangkang, ada juga ahli Parlimen Umno bersama, (dan) sudah ada kalangan PKR yang bersama,” katanya.
Menurutnya lagi, Anwar sebelum ini memberi jaminan di parlimen bahawa RUU berkenaan boleh dipinda.
“Anwar, kamu sudah pun mengaku dengan saya di Parlimen… ada rekod dalam Parlimen, Anwar telah pun menjanjikan URA ini boleh diubah.
“Anwar jangan kau perjuangkan hanya untuk kepentingan pemaju. Sebab itu kami ramai-ramai di sini berhimpun menolak URA,” katanya.
‘Trump pelakon terbesar’
Ahli Parlimen Larut itu juga menarik perhatian terhadap pendirian kerajaan mengenai isu Palestin, sambil mengkritik Anwar kerana menjemput Trump ke Malaysia.

“Hari ni kita tahu seorang pelakon yang terbesar dalam dunia, dalam perjuangan Palestin adalah Trump. Kami tak mahu Trump hadir. Tolak Trump!” katanya, disambut sorakan orang ramai,” katanya.
Hamzah menutup ucapannya dengan mengingatkan Anwar tentang perjuangan reformasi yang pernah dibawanya dahulu.
“Anwar ingatlah kamu pernah berjuang untuk keadilan… Sekarang sandiwara semata. Turun Anwar, cukup-cukuklah,” katanya.
Anwar sebelum ini mempertahankan jemputan kepada Trump dengan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi Asean bagi urusan di peringkat serantau.






