Malaysia Oversight

UPM nafi upah syarikat bunuh anjing liar, akan buat siasatan dalaman

By MkiniBM in October 3, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan rasa kesal berhubung dakwaan sebuah NGO bahawa universiti itu melantik syarikat pembersihan untuk membunuh anjing terbiar di kawasannya.

UPM berkata pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap perkara tersebut.

“UPM menzahirkan rasa kesal dengan insiden yang sedang tular ini. Sebagai institusi yang menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet termasuk kebajikan dan kesejahteraan haiwan, UPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan kejadian yang telah berlaku.

“UPM juga memandang serius setiap maklum balas serta dakwaan yang ditujukan kepada universiti berkaitan pengendalian haiwan liar,” kata universiti itu dalam kenyataan hari ini.

UPM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan semua tindakan berkaitan pengurusan haiwan dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

“Justeru, UPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat dengan penuh teliti kejadian ini,” katanya lagi. 

Terdahulu hari ini, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia  (Peka) mendakwa UPM terlibat dalam pembunuhan anjing terbiar secara tidak sah, dengan mendakwa institusi itu telah membayar sebuah syarikat pembersihan untuk tujuan itu.

1a805406617e9883f81e1c37387d176f

Peka mendakwa UPM melantik sebuah syarikat berpusat di Sentul, Kuala Lumpur untuk “membunuh” anjing dengan bayaran RM400 seekor.

“Bukti mengesahkan sekurang-kurangnya 15 ekor anjing telah dibunuh oleh (syarikat berkenaan) melalui tembakan. Bukti bergambar juga mengesahkan tindakan ini,” kata presiden Peka, Rajesh Nagarajan dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata Peka menuntut agar UPM segera menghentikan semua pembunuhan haiwan dan turut menggesa polis serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan siasatan terhadap UPM dan syarikat berkenaan.

Ketika dihubungi, seorang pekerja syarikat yang dinamakan dalam invois bertarikh November 2024 – yang dikatakan dihantar kepada UPM bagi tujuan “menangkap dan melupuskan anjing liar” – enggan mengulas dan sebaliknya mengarahkan pertanyaan dikemukakan terus kepada UPM.

Walaupun invois itu tidak menyatakan cara anjing-anjing tersebut dilupuskan, dokumen berkenaan memaparkan beberapa cop yang kelihatan daripada pihak berkuasa UPM.

Semakan Malaysiakini terhadap syarikat itu juga mendapati hampir tiada kewujudan dalam talian, kecuali satu alamat dan nombor telefon pejabat.



Source link