Malaysia Oversight

SPRM dapat perintah mahkamah halang penjualan 2.5j saham eksekutif Petrosaudi

By MkiniBM in October 3, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


SPRM telah mendapat perintah mahkamah untuk menghalang penjualan 2.5 juta saham dalam Palantir Technologies Inc yang didaftarkan atas nama Tarek Essam Ahmad Obaid, atau lebih dikenali sebagai Tarek Obaid.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azhar Abdul Hamid mengeluarkan perintah itu hari ini di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, susulan permohonan yang difailkan SPRM pada 26 Sept lalu.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata permohonan itu dibuat berdasarkan maklumat bahawa pada tahun 2010, Obaid menerima, memindah, dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Dana itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dan digunakan untuk memperoleh saham Palantir bernilai AS$2 juta ketika itu.

‘Menerusi perintah ini, SPRM berjaya menghalang 2.5 juta saham atas nama Tarek Obaid yang kini dianggarkan bernilai AS$448 juta atau bersamaan lebih RM2 bilion ini daripada diniagakan,” kata SPRM.

Obaid ialah pengasas bersama PetroSaudi International, syarikat Arab Saudi yang terlibat dalam usaha sama dengan 1MDB pada 2009.

Siasatan kemudian mendedahkan berbilion ringgit diseleweng daripada usaha sama itu.

Pada ketika itu, PetroSaudi digambarkan sebagai rakan strategik yang akan memberi akses pasaran tenaga antarabangsa kepada 1MDB. Namun, dokumen yang dibocorkan dan siasatan di beberapa negara menunjukkan usaha sama itu digunakan sebagai platform untuk mengalihkan berbilion ringgit ke dalam akaun yang dikawal oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho dan sejumlah sekutunya.

Jabatan Kehakiman AS, dalam saman pelucuthakan 1MDB, turut mengenal pasti Obaid sebagai penerima utama dana yang diseleweng daripada syarikat pelaburan negara itu.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan Obaid dan Patrick Mahony atas peranan mereka dalam penyelewengan dana 1MDB.



Source link