Pada malam ini, ASUS Malaysia telah mengumumkan bahawa siri konsol permainan PC mudah-alih terbaru mereka, ASUS ROG Xbox Ally dan ASUS ROG Xbox Ally X akan memasuki pasaran tempatan pada 17 Oktober ini, dengan pra-tempahan konsol tersebut dibuka bermula hari ini, 3 Oktober 2025.

ASUS ROG Xbox Ally dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen Z2 A, memori 16GB LPDDR5X-6400 RAM, storan 512GB M.2 2280 SSD dan bateri 60Wh. Terdapat 2x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DisplayPort 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD boleh digantikan sendiri oleh pengguna.

ASUS ROG Xbox Ally X pula dilengkapi skrin 7″ FHD 120Hz dengan sokongan FreeSync Premium, dijana cip AMD Ryzen AI Z2 Extreme, memori 24GB LPDDR5X-8000 RAM, storan 1TB M.2 2280 SSD dan bateri 80Wh. Terdapat 1x USB-Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C dengan DP 2.1, pembaca kad UHS-II microSD dan satu bicu audio 3.5mm. Storan SSD juga boleh digantikan sendiri oleh pengguna.

Dalam pada itu, ASUS juga telah memperkenalkan dua aksesori baru bersama-sama siri konsol ASUS ROG Xbox Ally ini. Ia termasuklah dermaga ASUS ROG Bulwark dan juga papan kekunci ASUS Jelly75. Dermaga ROG Bulwark hadir dengan tujuh palam terbina, termasuklah tiga palam USB 3.2 Type-A, dua palam USB 3.2 Type-C, satu bicu audio 3.5mm, satu palam HDMI 2.1. Dermaga ini juga boleh digunakan untuk mengecas konsol ASUS ROG Xbox Ally anda.

Papan kekunci ASUS Jelly75 pula ialah sebuah papan kekunci dengan saiz 75% yang hadir dengan sokongan suis mekanikal 5-pin yang boleh dicabut dan ditukar dan menggunakan gasket mount untuk pengalaman menaip yang selesa. Papan kekunci ini juga hadir dengan sokongan tiga jenis sambungan, termasuklah sambungan berwayar dengan kabel USB, sambungan nirwayar Bluetooth dan juga WiFi 2.4GHz.

ASUS ROG Xbox Ally dijual pada harga RM2699, manakala ASUS ROG Xbox Ally X pula hadir dengan tanda harga RM4299 yang mana mereka merupakan tanda harga tempatan yang sama apabila konsol ASUS ROG Ally dan ROG Ally X dilancarkan pertama kalinya beberapa tahun yang lalu.
ASUS ROG Bullwark akan ditawarkan pada masa yang sama pada harga RM699 manakala papan kekunci ASUS Jelly75 ditawarkan pada harga RM399.

Pra-tempahan untuk ASUS ROG XBox Ally dan ROG Xbox Ally X dibuka bermula malam ini, 3 Oktober 2025 di gedung atas-talian ASUS e-Store, manakala untuk pra-tempahan di kedai fizikal ASUS Concept Store, ia akan bermula pada 6 Oktober ini. Pra-tempahan akan ditutup pada 15 haribulan, dan akan mula dijual secara terbuka pada 17 Oktober ini.






