Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di mahkamah, seperti untuk pengurusan kes dan penyelidikan undang-undang, akan dihadkan kepada memperkemas kecekapan dan bukannya mengambil alih peranan hakim, kata Ketua Hakim Negara (CJ) Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Walaupun cabaran kemajuan digital yang semakin meningkat dalam dunia perundangan, dia menekankan bahawa teras pembuatan keputusan kehakiman akan kekal pada manusia.
“AI boleh memproses sejumlah besar data undang-undang, mengenal pasti corak merentas beribu-ribu kes, dan membentangkan rujukan (precedent) yang berkaitan dengan cepat.
“Ada yang takut AI akan menggantikan keputusan kehakiman. Saya percaya sebaliknya adalah benar (bahawa) AI akan menjadikan kebijaksanaan kehakiman manusia lebih penting, bukan berkurang.
“(Ini kerana AI tidak boleh) menimbang faktor manusia yang menjadi nadi dalam membuat keputusan kehakiman, iaitu kredibiliti saksi, pertimbangan saksama yang dituntut keadilan, dan nilai perlembagaan yang mesti membimbing tafsiran undang-undang kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Peguam Selangor 2025 hari ini.
Wan Ahmad Farid, dalam mengaitkan ucapannya dengan tema persidangan “Res Nova”, yang bermaksud ‘perkara baru’ dalam bahasa Latin, mengakui bahawa aplikasi AI adalah salah satu cabaran mendesak dalam dunia perundangan.
Tema persidangan itu, katanya, berfungsi untuk mengingatkan pengamal undang-undang bahawa undang-undang bukanlah monumen statik kepada kebijaksanaan silam, tetapi sistem hidup yang mesti berkembang untuk memenuhi keperluan setiap generasi sambil mengekalkan kesinambungan dengan prinsip keadilan yang berkekalan.
Bagaimanapun, antara persoalan yang perlu direnungkan oleh pengamal undang-undang sekarang, tambahnya, adalah bagaimana mereka akan memastikan AI, selain alat teknologi lain, melaksanakan keadilan dan bukannya menggantikannya.
“Dalam masa cabaran undang-undang yang pesat, nilai perlembagaan menyediakan sistem navigasi kita.
“Kedaulatan undang-undang yang mendasari keseluruhan sistem perundangan kita kekal malar walaupun aplikasi undang-undang tertentu berkembang. Apabila kita menghadapi res nova, nilai perlembagaan ini membimbing pemikiran kita.
“Menangani res nova bukan semata-mata tanggungjawab kehakiman (tetapi) ia memerlukan seluruh profesion undang-undang bekerjasama,” katanya.
Persidangan dua hari itu, yang dijadualkan pada 3 dan 4 Okt, akan menyaksikan perbincangan tertumpu kepada beberapa isu, termasuk penggunaan AI, pengantaraan dan undang-undang keluarga, yang menampilkan 20 penceramah yang terdiri daripada hakim dan peguam.
Turut hadir pada majlis perasmian acara itu, yang diadakan di hotel Le Meridien Petaling Jaya hari ini, ialah Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, dan Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.






