Penyokong kempen Tiada Guru menggesa SPRM dan polis menyiasat dakwaan yang dibuat oleh bekas pegawai khas menteri pendidikan ketika memberi keterangan di mahkamah, berhubung penutupan berulang kali kes salah laku oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam kenyataan hari ini, mereka mengkritik apa yang disifatkan sebagai corak penutupan kes dalam kementerian, merujuk kepada penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2023 melibatkan pelajar, Siti Nafirah dan guru, Nurhaizah Ejab.
“Kes mahkamah ini menunjukkan keperluan asas, terutamanya di Sabah: siasatan bebas, perlindungan saksi, kuasa sapina dan bukti adil. Semua ini tiada dalam siasatan dalaman KPM yang korup.
“Maka, penyelesaian hanya melalui siasatan luar, penguatkuasaan luar dan perlindungan penuh pemberi maklumat, seperti dicadang Tiada Guru dan pertubuhan masyarakat sivil yang lain melalui ombudsman awam yang bebas.
“Kerajaan Madani bertanggungjawab penuh atas semua skandal perkhidmatan awam, sama seperti PN dan BN dahulu,” kata kempen itu.
Pada Rabu lalu, Shaza Scherazade Alauddin Onn, yang merupakan bekas pegawai khas Maszlee Malik ketika dia menjadi Menteri Pendidikan, memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa KPM mengabaikan laporan mengenai salah urus dana berbilion ringgit berkaitan satu projek, selain kes penderaan kanak-kanak dan seksual.
Ketika memberi keterangan dalam kes saman guru ponteng yang difailkan Siti Nafirah Siman terhadap kerajaan, Shaza berkata kementerian berulang kali menutup salah laku serius walaupun bukti jelas ada.
Semalam, Maszlee berkata keterangan Shaza tersebut merupakan bukti wujudnya “pemerintah tersebunyi” (deep state) dalam kementerian tersebut.
“Apa yang dikatakan sebagai deep state dan Little Napoleon adalah benar,” kata Maszlee.
Salah laku sistemik
Sementara itu, Tiada Guru mengkritik anggota Parlimen dan menteri kerana menurutnya lemah berdepan salah laku sistemik.
“Institusi rosak ini tidak boleh diperbaiki oleh anggota Parlimen yang lemah, jawatankuasa yang berkompromi, tribunal sia-sia, jeritan di Parlimen atau pengakuan yang lewat.
“Ombudsman awam mesti diperkukuh dengan kuasa penuh menyiasat, menghukum dan menguatkuasa,” katanya.
Tiada Guru turut mengangkat keberanian pemberi maklumat seperti Shaza, Nurhaizah dan Siti Nafirah.
Mereka juga mengecam Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta anggota Parlimen lain kerana gagal melindungi Nurhaizah.
Dengan kegagalan itu, kata mereka, Fadhlina tidak lagi boleh menggelar dirinya sebagai pembela wanita dan kanak-kanak.
“Adakah keberanian dan tindakan pantas Nurhaizah membongkar sifat pengecut KPM dan kerajaan Madani? Dia tidak meminta populariti atau merungut ‘reformasi mengambil masa’,” kata mereka lagi.
Nurhaizah, yang menjadi saksi dalam kes Siti Nafirah, memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang dia menerima ugutan selepas enggan mematuhi arahan sekolah supaya menutup mulut mengenai masalah ponteng sistemik yang dilakukan defendan, Jainal Jamran.
Nurhaizah berkata dia telah membuat dua laporan polis berkaitan isu itu selepas saman difailkan.
Namun, dia mendakwa siasatan polis tidak diteruskan kerana kekurangan saksi.
Selain itu, Nurhaizah juga mendakwa polis menghentikan siasatan kerana pengetua SMK Taun Gusi ketika itu, Suid Hanapi merupakan bekas guru mereka di sekolah berkenaan.
Kempen Tiada Guru dinamakan sempena kes ini.






