Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican, mencadangkan penubuhan agensi khas bagi menyelia urusan pembaharuan semula kawasan bandar.
Naib Presiden Umno itu berkata agensi tersebut itu perlu diletakkan secara langsung di bawah perdana menteri.
Menurut Reezal, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan semula bandar dapat dilakukan secara lebih berkesan dan terselaras.
“Kalau di Singapura, pembangunan baru dibuat oleh Housing Development Board (HDB), manakala pembangunan semula diurus agensi khas, Urban Redevelopment Authority.
“Jadi, saya minta kalau buat penggubalan akta ini ia perlu digubal dan diletakkan di bawah satu agensi. Diletakkan secara langsung di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia (Anwar Ibrahim),” katanya ketika berucap pada Konvensyen Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, berpandangan struktur seumpama itu boleh diguna pakai di Malaysia dengan agensi PSB baru diletakkan di bawah JPM bagi mengukuhkan kedudukannya.
Mengulas lanjut, Reezal mengakui bahawa cadangan Akta PSB yang bakal digubal mungkin tampak kompleks dan membebankan, namun menegaskan ia wajar sebagai satu mekanisme perlindungan kepada rakyat, khususnya generasi muda.
“Alhamdulillah, kita ada tujuh menteri yang akan jadi benteng mempertahankan anak watan. Tanah watan ini hak anak-anak watan. Ia mesti dipelihara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU PSB, Johari Abdul Ghani, menegaskan cadangan Reezal hanyalah salah satu daripada banyak pandangan yang akan dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan untuk diteliti.
Johari yang juga Naib Presiden Umno, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan pelbagai input sebelum membuat keputusan menubuhkan agensi baharu.
“Cadangan itu kita akan ambil kira, tapi ia bukan mutlak. Kalau tak ada badan sedia ada yang boleh laksanakan, barulah kita fikir agensi baharu,” katanya dalam sidang media selepas konvensyen.
Konvensyen tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk bekas menteri, pakar perancang bandar, ahli politik dan wakil masyarakat sivil bagi meneliti kerangka dan implikasi pelaksanaan RUU URA.
RUU Pembaharuan Semula Bandar dijangka dibentangkan bacaan keduanya di Parlimen minggu depan.
Namun, desakan untuk menangguhkannya semakin kuat daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, sebelum ini berkata bacaan kedua RUU itu sepatutnya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sesi libat urus lebih menyeluruh.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan terdahulu menyatakan RUU itu penting untuk menyediakan mekanisme pembangunan semula kawasan perumahan lama yang lebih sistematik dan inklusif.
Namun, terdapat kebimbangan berhubung perlindungan hak pemilik asal, mekanisme pampasan, dan risiko pengusiran paksa yang boleh timbul sekiranya undang-undang ini digubal tanpa penelitian menyeluruh.






