Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpendapat kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) adalah peluang untuk Malaysia menyatakan pendirian dalam isu Gaza.
Yang Dipertua Yadim Hasan Bahrom berkata pihaknya menyedari bahawa dasar Presiden Amerika Syarikatn Donald Trump pernah menimbulkan keresahan umat Islam.
Namun tegasnya, Islam mengajar bahawa menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin zalim ialah jihad paling mulia.
“Kehadiran Trump ke Malaysia bukanlah satu bentuk pengiktirafan kepada dasar luar Amerika yang membela kezaliman rejim zionis Israel, tetapi jika dilihat dalam sudut positif ia satu peluang untuk menyatakan pendirian terhadap kekejaman dan penindasan rejim zionis terhadap penduduk Gaza,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Trump akan berada di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean. Ia akan dilangsungkan di Kuala Lumpur sempena kedudukan Malaysia sebagai pengerusi bagi blok serantau itu.
Pelbagai pihak turut menyatakan reaksi bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia yang dijadualkan pada penghujung bulan ini.
Hasan berkata, ada pihak menyatakan bahawa menerima Trump bermakna mengiktiraf kezaliman, malah menuduh kerajaan tunduk kepada kuasa besar.
‘Diplomasi tak bermaksud tunduk’
Namun tegasnya, pendekatan diplomasi tidak sama dengan tunduk.
“Malaysia berani bersemuka, menyampaikan suara rakyat dan pendirian rantau.
“Kehadiran Trump justeru memperkukuh wibawa Malaysia sebagai jambatan dialog namun berprinsip dan berdaulat.
“Pendekatan ini seiring dengan aspirasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan nilai kemanusiaan sejagat, keadilan, serta diplomasi berhemah dalam menyuarakan suara rakyat tertindas,” jelasnya lagi.

Tambah Hasan kehadiran Trump ke Malaysia, walaupun penuh dengan pelbagai persepsi, boleh dimanfaatkan sebagai ruang strategik untuk mengangkat agenda kemanusiaan sejagat.
Katanya ini menegaskan bahawa Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan, dan mengembalikan kedaulatan sesebuah negara.
“Yadim menegaskan bahawa Sidang Asean ialah tentang masa depan rantau ini, bukan soal individu. Kehadiran Trump, seperti pemimpin lain, mesti dilihat sebagai ruang untuk memperkukuh kerjasama, menyuarakan kebenaran, dan mendidik dunia dengan nilai dakwah.
“Dengan keberanian dan kebijaksanaan, Malaysia mampu memanfaatkan peluang ini demi kepentingan rakyat dan demi mengangkat aspirasi Malaysia Madani di pentas dunia,” katanya.






