Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan polis semasa perhimpunan anti-Israel semalam, yang mengakibatkan kekecohan dan kecederaan.
Sambil menyatakan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin, dia mengecam tindakan “pihak tidak bertanggungjawab” tertentu yang didakwa cuba menghalang polis daripada menjalankan tugas semasa perhimpunan itu.
“Anggota PDRM berada di lapangan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, namun ada pihak yang bertindak melampaui batas sehingga mencederakan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan di luar Kedutaan AS di Kuala Lumpur petang semalam menyaksikan penahanan dua individu kerana didakwa menghalang polis.
Himpunan itu diadakan selepas tentera Israel menahan peserta Global Sumud Flotilla (GSF), yang belayar menuju ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata salah seorang anggotanya mengalami kecederaan semasa pergelutan itu selepas dipercayai diserang oleh penunjuk perasaan.
Kumpulan masyarakat sivil – termasuk Suaram, Amnesty International Malaysia, Justice for Sisters, dan PSM – kemudiannya mengecam penahanan tersebut.
Mereka juga menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula protokol polis dan memastikan semua pegawai menggunakan pendekatan yang memudahkan, berasaskan hak untuk menguruskan perhimpunan.
Kumpulan itu mendakwa polis gagal menguruskan keadaan dengan betul, sambil menambah bahawa beberapa anggota polis malah mencetuskan pergaduhan itu.

Malaysiakini difahamkan bahawa kedua-dua penunjuk perasaan itu dibebaskan malam tadi sekitar jam 9.30 malam.
Sementara itu, Saifuddin mengulangi bahawa hak untuk berhimpun secara aman mesti dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang – tanpa menjejaskan keselamatan awam atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
“Tiada pihak boleh menggunakan alasan berhimpun untuk mencetuskan kekecohan atau menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara,” tambahnya.
Saifuddin berkata dia yakin PDRM akan terus menunaikan tanggungjawab mengikut undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Pada masa yang sama, saya menyeru orang ramai agar menghormati undang-undang, mematuhi peraturan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.






