PANDUANKINI Pertelingkahan dalaman Bersatu secara tidak dijangka menghidupkan semula satu skandal yang disangka sudah lama terkubur – membabitkan “video seks semburit di Sandakan” enam tahun lalu.
Ahli majlis tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini membangkitkan semula isu itu dengan menuduh setiausaha agung parti Azmin Ali sebagai lelaki dalam video tersebut.
Wan Saiful berkata perkara itu melayakkan Azmin disingkirkan daripada memimpin Bersatu.
Kenyataan Wan Saiful itu memburukkan lagi perpecahan parti. Azmin segera membalas dengan mengecam tuduhan itu sebagai fitnah.

Penyokongnya dalam Bersatu turut bangkit mempertahankannya, malah menuntut Wan Saiful dipecat, sekali gus memanaskan lagi keadaan.
Panduankini mengimbas kembali skandal pada 2019 yang pernah menggoncang politik Malaysia.
(1) Apa itu video seks Sandakan?
Pada dinihari 11 Jun 2019, tiga klip video seks tersebar melalui beberapa kumpulan WhatsApp yang menyasarkan media dan pemimpin PKR.

Video yang kelihatan dirakam dalam bilik hotel sama itu memaparkan dua lelaki berbogel melakukan aksi intim di atas katil. Salah seorang daripada mereka menyerupai ketika itu timbalan presiden PKR merangkap menteri hal ehwal ekonomi, Azmin Ali.
Kumpulan itu turut mengedarkan dokumen yang kononnya resit pemindahan bank, mendakwa pada 19 Dis 2017, sebanyak AS$741,440 (kira-kira RM3.08 juta ketika itu) dipindahkan dari akaun Maybank milik UEM Group ke akaun Deutsche Bank yang dikatakan milik Azmin.
Namun, baik UEM mahupun Maybank menafikan dakwaan tersebut, dengan UEM membuat laporan polis dan Maybank menyifatkan dokumen itu sebagai palsu.
(2) Bagaimana ia mengaitkan Azmin?
Keesokan paginya, ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, memuat naik klip 34 saat di Facebook mendakwa dia salah seorang individu dalam video itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya.
Dia mendakwa rakaman itu dibuat secara rahsia pada 11 Mei tahun sama, ketika pilihan raya kecil Sandakan, di bilik Azmin di Hotel Four Points.

Haziq turut menggesa SPRM menyiasat Azmin atas tuduhan rasuah dan menegaskan dia tidak layak menjadi pemimpin.
Pada sebelah malamnya, Azmin akhirnya bersuara menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak di belakangnya.
Namun, kurang dua jam selepas kenyataan Azmin, satu lagi kumpulan video tersebar melalui WhatsApp baru.
Gelombang ketiga muncul pada 18 Jun, diikuti kebocoran terakhir tiga bulan kemudian.
(3) Bagaimana reaksi pemimpin politik?
Video tersebut segera mencetuskan spekulasi, ramai mengaitkannya dengan perebutan dalaman PKR dan dakwaan konspirasi presiden parti Anwar Ibrahim serta ketika itu naib presiden Rafizi Ramli untuk menjatuhkan Azmin.
Pada masa itu, ramai penyokong Anwar percaya perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad sedang mengangkat Azmin untuk menyisihkan Anwar.

Namun, Anwar menolak dakwaan itu, berkata dia, Azmin dan Rafizi berada dalam kem sama malah Mahathir juga sudah menegaskan semula pelan peralihan kuasa.
Rafizi pula menjauhkan diri daripada skandal itu dan tidak hadir mesyuarat biro politik PKR yang diadakan khusus membincangkan isu berkenaan.
(4) Ada persoal jika Azmin sasaran sebenar
Ketua Wanita PKR ketika itu, Haniza Mohamed Talha, berpendapat sasaran sebenar mungkin Mahathir dan ketua pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Latheefa Koya, yang dilihat sehaluan dengan kem Azmin.

Latheefa baru sahaja memegang jawatan pada 4 Jun, dilantik secara langsung oleh Mahathir.
Sementara itu, sebahagian pemimpin PKR percaya skandal itu direka untuk membingkai Anwar sebagai dalang, sekali gus mencalar reputasinya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula pergi lebih jauh, dengan mencadangkan campur tangan asing mungkin terlibat.
(5) Adakah Farhash terlibat?
Farhash Wafa Salvador, setiausaha politik Anwar merangkap ketua PKR Perak ketika itu, dilaporkan “hilang” sepanjang tempoh tersebut, sekali gus menimbulkan spekulasi.
Dia kemudian ditahan selama seminggu sebelum dibebaskan, disambut seperti wira di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Farhash menegaskan dia sedang bercuti untuk menyiapkan pengajian PhD dalam bidang pengurusan dan menafikan sebarang penglibatan.
Dia juga menafikan khabar angin bahawa dia bertemu Haziq di KLIA sebelum perjalanan Haziq ke Manila, tetapi menggesa Azmin meletakkan jawatan jika rakaman itu benar.
Azmin pula bertegas dia tahu siapa “dalang” di sebalik penyebaran video itu, malah yakin anggota partinya sendiri yang melakukannya.
(6) Bagaimana PKR tangani isu ini?
Ringkasnya, mereka pecat Haziq. Pada 19 Jun, biro politik PKR menukar pendirian “tunggu dan lihat” kepada tindakan tegas, dengan mengarahkan lembaga disiplin menghantar surat tunjuk sebab kepadanya.
Dua minggu kemudian, Haziq dipecat kerana secara terbuka menuduh pemimpin parti terlibat dengan rasuah.

Lembaga disiplin enggan mendedahkan sebab kedua pemecatan itu dengan alasan siasatan polis masih berjalan.
Keputusan itu tidak meredakan ketegangan dalam parti, sebaliknya mencetuskan konflik dalaman yang akhirnya memuncak dengan “Langkah Sheraton” pada Februari tahun berikutnya.
Pada masa sama, Kementerian Perindustrian Utama, tempat Haziq berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin, turut menamatkan perkhidmatannya pada 18 Jun kerana mencemarkan imej kementerian.
(7) Apa hasil siasatan?
Tiada pertuduhan jenayah difailkan. Polis menahan Haziq pada 14 Jun di KLIA ketika diabersiap untuk terbang ke Filipina. Siasatan dijalankan di bawah beberapa undang-undang, termasuk:
-
Kanun Keseksaan Seksyen 377B (hubungan seks songsang),
-
Seksyen 292 (pengedaran bahan lucah),
-
Seksyen 504 (menghina dengan niat mencetuskan gangguan awam), dan
-
Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233 (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).
Sebuah pasukan khas polis ditubuhkan, dengan lebih 10 individu termasuk Farhash ditahan atau disoal siasat.

Pada 18 Julai, Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador, mengesahkan video itu adalah tulen, namun CyberSecurity Malaysia tidak dapat mengesahkan identiti dua lelaki dalam rakaman seks berkenaan.
Katanya, siasatan mendedahkan adanya “pakatan jahat” yang didalangi seorang pemimpin politik untuk memalukan serta mencemarkan nama Azmin.
Pada Januari 2020, peguam negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan tiada pendakwaan akan dilakukan kerana pakar forensik tidak dapat mengenal pasti secara konklusif individu dalam video tersebut.






