Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, mengesahkan mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes saman fitnahnya terhadap personaliti media sosial, Rafidah Ibrahim pada 29 Oktober ini.
“Saya saman dia kerana mendakwa saya nak hapuskan rizab Melayu.
“Sekarang kita mahu lihat apakah bukti yang dia ada untuk menyokong tuduhan itu,” katanya pada sidang media di Restoran Line Clear, Kampung Baru, hari ini.
Khalid turut berkata pada 29 Ogos lalu, pihaknya hampir mendapat penghakiman terus kerana Rafidah tidak hadir ke mahkamah.

Namun, menurutnya Rafidah pada saat akhir hadir bersama peguam dan memohon diberi peluang membela diri.
Mahkamah kemudian mengarahkan pihak Rafidah memfailkan pembelaan selewat-lewatnya 13 Oktober manakala jawapan Khalid perlu dikemukakan pada atau sebelum 28 Oktober, katanya.
Khalid menegaskan keyakinannya kes tersebut akan dibicarakan, sekali gus membuktikan dakwaan Rafidah hanyalah cubaan meraih perhatian di media sosial.
“Dia buat dakwaan sensasi hanya untuk dapatkan ‘viewers’ di aplikasi TikTok.

“Sekarang biarlah mahkamah tentukan dan kita akan buktikan kepada dunia bahawa dia berbohong,” tegasnya.
Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum ini menuntut Rafidah memohon maaf atau berdepan tindakan saman berhubung dakwaan kononnya dia berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta mahu menghapuskan rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, malah di seluruh Kampung Baru.
Pada sidang media 21 April 2025, Khalid menegaskan langkah saman terpaksa diambil kerana dakwaan Rafidah merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab
Fitnah dikaitkan dengan RUU PSB
Kes saman ini turut dikaitkan dengan polemik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau lebih dikenali sebagai RUU URA, yang menjadi isu hangat terutama ketika pengusiran di Kampung Sungai Baru.
Khalid menegaskan RUU PSB tidak bertujuan mengusir penduduk asal atau menjejaskan pemilikan orang Melayu, sebaliknya untuk memperbaharui kawasan lama agar lebih selesa didiami.

Namun, Rafidah didakwa cuba membina naratif bahawa undang-undang itu bakal menghapuskan hak orang Melayu di Kuala Lumpur – dakwaan yang disifatkan Khalid sebagai tidak benar.
“Ini isu yang diputar belit. Hakikatnya, RUU ini menyasarkan bangunan lama yang tidak lagi sesuai diduduki, bukan soal kaum.
“Tetapi ada pihak yang sengaja memainkan isu kaum untuk menimbulkan kebimbangan,” kata Khalid lagi.






