Polis mengesahkan dua individu ditahan ketika perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini, atas dakwaan menghalan tugas polis.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, seorang anggotanya turut cedera dalam kekecohan yang tercetus, selepas didakwa diserang oleh seorang peserta himpunan.
“Pada pukul 12 tengah hari tadi, telah berlangsung satu perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dengan anggaran kehadiran lebih kurang seramai 50 orang peserta. Keadaan mulai menjadi tegang apabila terdapat peserta mula menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak berhadapan Kedutaan Amerika.
“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat disiku oleh peserta perhimpunan yang terlibat semasa menjaga kawalan keselamatan di tempat kejadian.
“Susulan itu, polis telah menahan dua lelaki Melayu berumur 23 tahun dan 32 tahun kerana telah bertindak menghalang pihak polis menjalankan tugas kawalan keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Fadil berkata kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Himpunan tersebut diadakan selepas tentera Israel memintas Flotila Sumud Global dan menahan sejumlah aktivis awal pagi tadi.
Menurut Bernama, Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan bot Morgana mengesahkan secara visual pemintasan terhadap bot Alma, manakala bot Sirius menerima isyarat ‘mayday’ dan pengesahan visual daripada bot Grande Blue. Bagaimanapun, tiada bot yang menerima isyarat SOS.
Terdahulu, SNCC juga melaporkan komunikasi telah terputus dengan sembilan rakyat Malaysia di atas empat kapal flotilla tersebut.
‘Bebaskan peserta himpunan’
Sementara itu, beberapa organisasi mengecam tindakan polis menahan dua individu berkenaan dan menggesa mereka segera dibebaskan.
“Kami juga menyeru Kementerian Dalam Negeri untuk menilai semula protokol polis dan memastikan semua anggota mengamalkan pendekatan fasilitatif berasaskan hak asasi dalam menguruskan perhimpunan,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Antara organisasi yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Suaram, Amnesty International Malaysia, Justice for Sisters, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mereka turut mengkritik polis dengan mendakwa pihak berkuasa tidak mendedahkan lokasi penahanan kedua-dua individu itu selama hampir empat jam selepas ditangkap.
“Semasa ditahan, mereka tidak dimaklumkan ke mana akan dibawa dan dinafikan akses kepada peguam – melanggar hak asasi asas bagi individu yang ditahan.
“Masih belum jelas jika mereka telah diberi akses kepada pemeriksaan perubatan dan rawatan atas kecederaan yang dialami,” kata mereka lagi.
‘Polis juga salah’
Berhubung kekecohan tersebut, mereka mendakwa polis gagal menguruskan keadaan dengan baik, malah ada anggota yang didakwa mencetuskan pergelutan.
Menurut mereka, pegawai kedutaan bersama polis menghalang akses sehingga memaksa peserta menggunakan jalan raya.

“Bertentangan dengan laporan media, polis dilihat mencetuskan kekecohan: seorang anggota Cawangan Khas berpakaian biasa berpura-pura ditolak oleh salah seorang yang ditahan dan pada masa sama menghalangnya daripada menyertai semula peserta lain.
“Peserta kedua pula, yang dilihat cuba menenangkan keadaan, tetap ditahan.
“Di tengah-tengah pindaan berterusan terhadap Akta Perhimpunan Aman, kerajaan mesti memastikan amalan kepolisan dalam menguruskan perhimpunan mencerminkan komitmen terhadap reformasi, bukan menjejaskannya,” kata mereka.






