Umno Sabah menggesa SPRM untuk segera mendedahkan hasil siasatannya berhubung dakwaan pembabitan Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Jeffrey Kitingan dalam skandal lesen pelombongan mineral negeri itu.
Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman turut meminta SPRM menyegerakan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara agar Kitingan boleh didakwa di mahkamah.
“Seluruh rakyat Sabah sedang menunggu keputusan siasatan daripada SPRM berhubung kes tersebut.
“Penyiasatan secara cekap dan bebas daripada SPRM terhadap Timbalan Ketua Menteri I yang diklasifikasikan sebagai kategori ‘VVIP’ akan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada SPRM,” kata Datu Rosman dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Sept lalu, ahli perniagaan, Albert Tei mendedahkan video perbualannya yang didakwa bersama Kitingan, yang menurutnya menerima RM1.78 juta daripadanya – jumlah terbesar yang didakwa pernah dibayar kepada mana-mana ahli politik berkait skandal itu.
Video tersebut dikatakan dirakam semasa pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, berkaitan pembatalan lesen penerokaan lombong. Dalam rakaman itu, Tei memperincikan bayaran yang didakwa dibuat kepada Kitingan.
Keesokan harinya, Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dilaporkan memberi keterangan selama lebih lima jam di pejabat SPRM di Kota Kinabalu.
Sementara itu, Adun Warisan, Justin Wong mengingatkan SPRM agar tidak menutup mata terhadap kes Kitingan hanya kerana dia berkedudukan tinggi.
“Jika rakyat biasa boleh disiasat dan didakwa atas kesalahan lebih kecil, mengapa pula seorang timbalan ketua menteri perlu dilindungi?
“Cepat bertindak terhadap rakyat biasa, tapi bila melibatkan VVIP yang ada nilai politik? Anda berkhidmat kepada rakyat atau melindungi golongan berkuasa?” kata Adun Sri Tanjong itu dalam kenyataan.

Merujuk kepada video Kitingan yang disiarkan Malaysiakini, Wong mempersoal bukti apa lagi yang diperlukan untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin negeri yang terpalit dengan dakwaan rasuah.
“Setiausaha sulit timbalan ketua menteri sendiri mengakui bayaran tunai yang dibuat kepada Kitingan,” tambahnya.
Wong merujuk kepada video terbaru yang didedahkan Tei semalam, membabitkan pembantu Kitingan, Rizal Johari.
Tei mendakwa rakaman itu menunjukkan lesen perlombongan dibatalkan sebagai sebahagian daripada perebutan kuasa antara Ketua Menteri Sabah merangkap pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, Kitingan, serta Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.
Bagaimanapun, Rizal menyangkal dakwaan rasuah itu dan berkata video berkenaan adalah sebahagian daripada kempen untuk menjatuhkan imej pemimpin negeri.
Dia juga mendakwa pendedahan itu dibuat bagi mempengaruhi pengundi dan memberi kelebihan kepada ahli politik tertentu, malah menuduh Tei tidak bertindak sendirian sebaliknya “di bawah arahan atau perlindungan individu berpengaruh”.
Pilihan raya negeri Sabah dijadual berlangsung tahun ini.






