Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata beliau tidak terkejut dengan perancangan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk keluar daripada gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Walaupun menganggap langkah itu sesuatu yang sudah dijangka namun Shafie menyoal masa yang dipilih.
“Mereka sudah beritahu saya tahun lalu, mereka kata mahu keluar pada September.
“Sampai sekarang masih belum berlaku, tapi itu hak mereka,” katanya pada sidang media hari ini selepas menerima hampir 200 ahli baharu menyertai partinya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Star dan SAPP sedang menimbang untuk meninggalkan gabungan berasaskan Sabah itu kerana bimbang GRS memberi terlalu banyak ruang kepada PH menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Presiden Star, Jeffrey Kitingan mengesahkan partinya sudah membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Ya… Kami baru sahaja nyatakan pendirian kami dengan jelas, sangat jelas.
“Tiada kiraan bilangan kerusi. Mereka cuba memujuk kami. Tapi tiada pertikaian.
“Semuanya berlaku secara baik dan penuh hormat, sebagaimana politik sepatutnya, kerana kita pasti akan berjumpa lagi selepas pilihan raya negeri,” kata timbalan ketua menteri Sabah itu.
Kitingan sebelum ini berpendapat tindakan membenarkan PH bertanding di lebih 20 kerusi akan menjejaskan kuasa politik parti-parti tempatan dengan ketara.
Kenapa sekarang?
Berhubung perkara itu, Shafie menyindir masa yang dipilih Kitingan, berkata Star kekal bersama GRS sehingga tamat penggal.
“Mereka sudah tinggal sebumbung selama lima tahun. Adakah itu adil? Kalau tidak adil, kenapa tidak bersuara lebih awal?” soalnya.
Bagaimanapun, Shafie menegaskan dialebih prihatin untuk memastikan rakyat Sabah bersatu berbanding meneliti gerak politik Star.
“Saya tidak mahu fikir tentang parti mereka atau bila mereka mahu keluar.
“Yang penting ialah menyatukan rakyat Sabah. Itu pendirian jelas kita, kita bekerja dengan rakyat,” katanya.
Pada 24 Sept lalu, ahli perniagaan yang menjadi pemberi maklumat, Albert Tei, mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima RM1.78 juta daripadanya – jumlah terbesar pernah dibayar kepada mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan skandal tersebut.
Rakaman video itu didakwa berlaku ketika satu pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, berhubung isu pembatalan lesen penerokaan lombong. Dalam rakaman itu, Tei memperincikan bayaran yang didakwa diberikan kepada Kitingan.
Keesokan harinya, Kitingan meluangkan lebih lima jam memberi keterangan di pejabat SPRM di Kota Kinabalu.






