Skor Penanda Aras GeekBench Untuk iPad Pro Dikuasakan Cip Apple M5 Diperlihatkan
Nazrin
Semalam kami telah melaporkan tentang tirisan maklumat berkenaan tablet iPad Pro baharu yang akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Apple M5 yang dijangka akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan.
Terkini, sedikit butiran berkenaan prestasi iPad Pro tersebut telah diperlihatkan melalui skor penanda-aras GeekBench, yang memperlihatkan kedua-dua skor teras tunggal dan multi-teras cip pemprosesan tersebut yang menandakan bahawa ianya menandingi penawaran cip Apple M4 Max.

Cip pemprosesan Apple M5 hadir dengan skor teras tunggal 4133 manakala skor multi-terasnya adalah sebanyak 15,437. Skor teras tunggal menyerupai kemampuan Apple M4 Max, tetapi skor multi-teras ketinggalan sekitar 10,000 mata.
Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana cip M5 adalah cip kelas permulaan dan Apple dijangka akan memperkenalkan model cip Apple M5 Pro dan M5 Max untuk penawaran premium lebih berkuasa kelak.

Spesifikasi lain yang dapat diperlihatkan pada cip Apple M5 ini termasuklah bahawa ia hadir dengan sembilan teras fizikal dan kelajuan asas 4.42GHz dan akan dilengkapi dengan 12GB memori terbina.
Butiran tambahan lain mengenai iPad Pro ini tidak diketahui lagi, tetapi ia mungkin akan ditiris sedikit demi sedikit seperti biasa sebelum pelancarannya di masa akan datang.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






