Kritikan terhadap lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia semakin memuncak ketika Israel dilaporkan menyerang lima kapal Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mendesak kerajaan agar membatalkan jemputan kepada Trump sekiranya aktivis Malaysia di atas kapal berkenaan tidak segera dibebaskan.

Jika tidak, katanya, Pemuda Umno seluruh negara akan turun membantah di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan presiden itu ke Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus!
“Sakiti mereka (Ativis GSF) sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia. Bebaskan aktivis global sumud flotilla,” kata Adun Merlimau itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu dilaporkan 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal GSF terputus hubungan dengan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) selepas disekat tentera Israel di perairan Gaza.
Sehingga jam 6 pagi waktu Malaysia, lapan daripada mereka disahkan ditahan oleh tentera Israel – termasuk penyanyi Zizi Kirana (nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil) yang menaiki kapal Huga.

Turut ditahan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil di kapal Alma, manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli berada di kapal Sirius.
Status lima yang lain – PU Rahmat, Norhelmi, Asmawi dan Norazman di kapal Estrella, serta pelakon Ardell Aryana di kapal Mikeno – masih belum diketahui.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby, selain komunikasi yang diganggu dengan radar jammer, konvoi GSF turut berdepan serangan meriam air daripada kapal tentera Israel, yang menyasarkan kapal kecil untuk menghalang mereka memasuki Zon Merah R2.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengecam keras tindakan Israel memintas GSF, sambil menyatakan ia mencerminkan keangkuhan Israel yang bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, malah mencabar suara hati nurani dunia.
Pada Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri mempertahankan jemputan terhadap Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur bulan ini dengan alasan “prinsip diplomasi menuntut kita bercakap benar secara berdepan, bukan mengelaknya.”






