‘Tanpa pendidikan, macam mana saya nak berjaya’.
Demikian luahan Nur Arissa Abdul Rahman, 20, gadis yatim piatu yang kisahnya mendapat perhatian apabila nekad bekerja kilang selama beberapa bulan demi mengumpul wang untuk menyambung pengajian ke universiti.
Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini mengakui kisah hidupnya penuh onak dan duri semenjak kematian orang tuanya ketika dia masih kecil.
Berkongsi kisahnya dengan Malaysiakini, Arissa berkata ibunya meninggal dunia akibat kanser ovari ketika dia berusia sembilan tahun, manakala bapa tiri pula meninggal dunia ketika dia berumur 17 tahun.
Selepas menamatkan STPM dengan memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58, Arissa mendapat tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM), namun dia tidak mampu membayar kos pengajian.
Bagi mencari wang untuk membayar yuran penganian, Arissa bekerja selama hampir enam bulan di sebuah kilang di Ipoh sebagai pemeriksa cip elektronik.
“Penat fizikal dan mental, tapi Alhamdulillah boleh bertahan sebab kawan-kawan di tempat kerja pun baik.
“Saya kerja sebab nak sambung belajar. Itu saja niat saya,” jelasnya kepada Malaysiakini.
Kelmarin, Malaysiakini menyiarkan kisah Arissa yang mendapat bantuan beberapa individu untuk menyambung pengajian termasuk bekas gurunya, cikgu Rahimah dari SMK Sultan Yahya Petra 2 dan Pengetua Institut Penginapan Siswa Proton (Inasis), Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin.
Lebih menyentuh hati, seorang wanita dermawan kemudian tampil dan menyatakan kesudian membiayai sepenuhnya pengajian Arissa di universiti berkenaan.

“Saya bersyukur dan gembira sangat dapat berjumpa dengan insan istimewa ini yang hanya mahu dirinya digelar sebagai hamba Allah,” kata Arissa penuh syukur.
Mahu jadi penulis
Bagi Arissa, bantuan yang dihulurkan insan berkenaan bukan sekadar meringankan beban kewangan, tetapi juga menjadi bukti bahawa Allah sentiasa mendengar doa daripadanya hamba-Nya.
“Saya pernah rasa nak putus asa. Tapi saya fikir kalau tanpa pendidikan, macam mana saya nak jadi orang yang berjaya.
“Arwah ibu dan ayah dulu pun memang nak saya masuk universiti. Itu punca kekuatan saya, selain sokongan orang sekeliling,” katanya yang masih memiliki seorang kakak.
Ditanya mengapa memilih jurusan komunikasi, Arissa berkata dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang penulis.
“Saya nak mendalami ilmu ini dan impian saya adalah menjadi seorang penulis serta bekerja dalam bidang komunikasi,” katanya.
Kata Arissa, dia juga mahu menghasilkan sebuah buku sebagai inspirasi kepada anak-anak muda yang senasib dengannya bagi menyampaikan mesej bahawa hanya dengan ilmu dapat mengubah masa depan seseorang.
“Hanya dengan pendidikan kita akan mendapat peluang kerja lebih baik, dan dalam masa yang sama dapat membantu keluarga,” katanya.






