Selepas tersiar laporan Malaysiakini berhubung penangguhan sementara bekalan petrol RON95 ke kedai runcit di sekitar Kuala Tahan di Jerantut, Pahang, bahan api bersubsidi itu segera dihantar oleh pembekal pada petang semalam.
Peniaga Moahamad Hafifi Mohd Azhar, 27, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun menurutnya, buat masa ini penjualan diteruskan seperti biasa tanpa mengguna pakai sistem kuota yang ditetapkan melalui pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95).
“Alhamdulillah bekalan petrol sudah sampai, sekarang kami jual secara manual (biasa), cuma semak kad penganalan pembeli untuk sahkan kelayakan.
“Pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) mahu pastikan penduduk dapat akses bekalan terlebih dahulu.
“Mengenai sistem kuota, di sini belum dibuat, mungkin ada proses selanjutnya selepas ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan bekalan petrol yang dijual melalui program point of sale (jualan barangan perlu) di kedai runcit sekitar Kuala Tahan tertangguh susulan pelaksanaan Budi95.
Penangguhan itu dimaklumkan kepada peniaga yang kemudian mencetuskan kerisauan khususnya kepada pengusaha bot pelancong yang sangat bergantung kepada bekalan petrol.
Untuk rekod, penjualan di kedai runcit yang diberikan lesen itu dibuat secara manual iaitu bekalan petrol dituang ke dalam penyukat sebelum diisi ke tangki kenderaan atau botol pelanggan.
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh ketika ditanya berhubung isu tersebut kelmarin memaklumkan pihaknya akan meneliti perkara yang dibangkit peniaga berkenaan.
Moahamad Hafifi berkata, kedainya menerima bekalan 4,000 liter petrol RON95 yang akan dijual dengan harga RM1.99 seliter kepada pengguna setempat.
“Sebanyak 4,000 liter dibekalkan ke kedai saya, biasanya cukup menampung sehari atau dua hari, tetapi bergantung kepada produktiviti dan kemasukan pelancong ke Taman Negara.
“Sekarang masih ada pelancong datang, cuma dah semakin berkurang dan aktiviti akan ditutup sepenuhnya apabila musim tengkujuh tiba. Jadi, pada masa itu permintaan petrol akan kurang,” katanya.
Dia juga mengucapkan penghargaan kepada KPDN dan pembekal kerana mengambil tindakan pantas dengan membuat penghantaran segera semalam.






