Parti pembangkang Sabah, Warisan, menolak kata dua diberikan Presiden Star, Jeffrey Kitingan untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan menyatakan amaran itu bukan soal prinsip tetapi lebih didorong oleh ketakutan politik.
Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mengancam menarik diri daripada GRS sekiranya gabungan kerajaan itu memberikan lebih banyak kerusi DUN kepada rakan sekutunya dari Semenanjung, PH dalam pilihan raya negeri akan datang.
Dia juga telah melancarkan satu gerakan baru, Justice for Sabah, bagi mengumpul sokongan untuk bergerak secara solo.
Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, berkata tindakan Jeffrey itu hanyalah cara untuk menutup hakikat bahawa sokongan Kadazandusun Murut (KDM) terhadapnya semakin merosot.
“Tindakan terbaru ini bukanlah tanda keberanian tetapi tanda ketakutan. Jeffrey tahu sokongan KDM semakin beralih kepada Warisan dan kini cuba menutup kelemahannya dengan berpura-pura kononnya dia mempertahankan hak Sabah,” kata Siambun dalam satu kenyataan dari Kota Kinabalu.
Dia turut mempersoalkan masa yang dipilih Jeffrey, sambil mengingatkan bahawa pemimpin STAR itu sudah lama berada selesa bersama Umno dan tokoh PH dalam kerajaan sejak 2020.

“Sepanjang bertahun-tahun itu, di manakah ‘Justice for Sabah’ yang tiba-tiba Jeffrey tuntut sekarang? Mengapa ia hanya menjadi slogannya pada saat menjelang pilihan raya?” soal Siambun.
Warisan berkata Jeffrey mempunyai banyak peluang untuk keluar daripada GRS dan kerajaan Madani berhubung isu seperti tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan peruntukan persekutuan, tetapi dia tetap memilih untuk kekal berkuasa.
“Jika Jeffrey benar-benar seorang yang berprinsip, beliau sepatutnya sudah lama meletak jawatan. Sebaliknya, beliau bercakap tentang mempertahankan Sabah sambil terus berpegang pada jawatannya. Prinsip dibuktikan dengan tindakan, bukan dengan kata-kata,” kata Siambun.
Menurunya lagi, ultimatum itu menguatkan lagi pandangan bahawa GRS adalah “berpecah, tidak stabil dan terikat dengan kuasa luar”.
“Pilihan untuk rakyat Sabah jelas. Mereka boleh memilih ketidakstabilan dan pengkhianatan di bawah GRS, atau kepastian dan perpaduan bersama Warisan,” katanya.






