Pengulas politik dan penyelidik akademik, Murray Hunter ditahan selama 48 jam dan didakwa di Thailand atas kritikannya terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hunter, yang merupakan warganegara Australia, akhirnya dibebaskan dengan jaminan semalam selepas ditahan pada 29 Sept. Dia kini menunggu perbicaraan pada 17 Nov berkata MCMC akan dipanggil sebagai pihak pendakwa.
Dalam wawancara telefon bersama Malaysiakini hari ini, Hunter mendakwa polis Thailand bertindak atas arahan MCMC. Dia mendakwa telah dikenakan tuduhan fitnah berhubung beberapa artikel blognya yang mengkritik pihak berkuasa Malaysia.
“Tapi kalau artikel saya tidak dianggap fitnah di Malaysia, bagaimana ia boleh dikira fitnah di Thailand?

“Matlamat kerajaan Malaysia dan MCMC ialah untuk membuli serta menakut-nakutkan orang dan mereka panggil polis Thailand buat kerja mereka,” katanya.
“Malah saya tidak fikir polis Thailand sendiri faham kenapa mereka tangkap saya. Mereka hanya beritahu saya bahawa saya dituduh fitnah.
“Mereka pun hampir tidak boleh menyebut tajuk artikel saya dalam bahasa Inggeris. Mereka semua hampir tidak boleh berbahasa Inggeris dan hanya ulang-ulang bahawa saya ditahan kerana fitnah,” tambahnya.
Menurut dokumen mahkamah dan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Hunter didakwa di bawah Seksyen 328 Kanun Jenayah Thailand kerana fitnah, dengan empat artikelnya di Substack dipetik sebagai bahan fitnah.
MCMC hantar orang
Dokumen itu turut menyertakan pautan ke tulisan Hunter di Substack, dengan dia mengkritik MCMC, polis Malaysia dan pemimpin Umno kerana didakwa memperalatkan perlembagaan demi kepentingan sendiri serta mengabaikan kepentingan awam.
Dokumen tersebut menggambarkan catatan blog Hunter sebagai satu kesalahan jenayah yang menyebabkan mangsa menanggung kerosakan reputasi, penghinaan, dan/atau kebencian.
Hunter menafikan semua pertuduhan.
“Sebelum tangkapan, MCMC sudah menghantar orang ke rumah saya di Thailand selama beberapa bulan. Saya juga kerap bertanya kepada polis tempatan Thailand jika ada waran tangkap terhadap saya, tetapi mereka kata tak perlu risau.
“Tapi bila saya berada di lapangan terbang dua hari lalu, merancang ke Hong Kong, saya tiba-tiba didatangi polis dan ditahan atas tuduhan fitnah,” jelasnya.
Dokumen rasmi menunjukkan Hunter ditahan pihak berkuasa pada 29 Sept di lobi imigresen Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, sebelum dibawa ke Balai Polis Yannawa.
Dokumen itu turut menunjukkan pihak berkuasa Thailand bertindak atas waran tangkap terhadap Murray yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok pada Mac tahun ini.
Bagaimanapun, Hunter mengesahkan dia telah mula bekerjasama secara rasmi dengan pasukan pembelaan undang-undang di Thailand dan beberapa peguam terkenal Malaysia juga bersetuju menyokong kesnya.
Dia menyuarakan harapan agar pertuduhan itu akhirnya digugurkan, dengan hujah sukar untuk pihak berkuasa Thailand mensabitkannya atas “kesalahan fitnah” yang kononnya dilakukan di luar negara.
Pada Mac 2024, polis Malaysia pada awalnya membuka siasatan “3R” terhadap Hunter berhubung kritikannya berkaitan kaum, agama, dan raja. Kes seumpama ini biasanya dikendalikan oleh Unit Siasatan Khas di Bukit Aman.
Ketika itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain turut mengumumkan polis Malaysia meminta bantuan Interpol untuk mengesan Hunter yang dipercayai tinggal di Bangkok.
Pada April 2024, MCMC pula membuat laporan polis terhadap Hunter berhubung catatan blognya yang didakwa berunsur fitnah. MCMC mendakwa Hunter secara terbuka menuduh suruhanjaya itu bertindak di luar bidang kuasa demi kepentingan peribadi dan bahawa suruhanjaya serta polis cuba menakut-nakutkan orang ramai.
Lawyers for Liberty ketika itu mengkritik tindakan tersebut sebagai mengekang kebebasan bersuara dan kritikan, menyifatkannya sebagai “tidak adil” apabila orang awam menerima laporan polis daripada sebuah badan awam utama seperti MCMC.
Mengulas lanjut, Hunter berkata “pada 17 Nov nanti, kes ini akan dibicarakan di mahkamah Thailand, dan MCMC akan dipanggil untuk berkata apa sahaja terhadap saya. Saya sudah ada peguam di Thailand, tetapi saya juga ada peguam terkenal dari Malaysia yang boleh tampil sebagai saksi untuk menyatakan bahawa apa yang saya tulis di Malaysia bukan fitnah.”
Malaysiakini telah menghubungi MCMC untuk mendapatkan penjelasan dan sedang menunggu maklum balas.






