Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan pelikuidasi luar negara untuk menyaman Standard Chartered Bank dan BSI Bank berhubung transaksi yang didakwa berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan itu sekali gus dilihat boleh menjejaskan usaha antarabangsa yang lebih luas untuk menjejak dan memulihkan aset berbilion ringgit yang hilang dalam salah satu skandal kewangan terbesar dunia.
The Straits Times, Singapura melaporkan hakim memutuskan bahawa rangka kerja insolvensi rentas sempadan republik itu tidak boleh diguna pakai ke atas urus niaga yang berlaku sebelum akta baru republik itu berkuatkuasa.
Pelikuidasi bagi Blackstone Asia Real Estate Partners dan Brazen Sky – dua syarikat yang terjerat dalam skandal 1MDB bernilai berbilion dolar – cuba memfailkan tuntutan pembatalan transaksi atau avoidance claims di Singapura terhadap yang transaksi mencurigakan serta mendapatkan kembali aset yang dipindahkan secara tidak sah daripada pemiutang.
Hakim Aidan Xu bagaimanapun menolak kedua-dua permohonan tersebut dengan merujuk kepada Artikel 23(9) Akta Insolvensi, Penstrukturan dan Pembubaran Singapura.
Peruntukan itu, yang dilaksanakan melalui Model Law mengenai Insolvensi Rentas Sempadan, secara jelas menghalang pelikuidasi asing daripada mencabar transaksi yang dilakukan sebelum undang-undang berkenaan dikuatkuasakan.
Peruntukan unik ini tidak wujud dalam rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCITRAL) mengenai perdagangan antarabangsa, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak bank.
Hakim Xu mengakui keputusan itu meninggalkan pelikuidasi dengan pilihan terhad walaupun transaksi berkenaan dilihat sebagai “sangat meragukan”. Katanya, masih ada jalan alternatif, tetapi ia akan melibatkan kos tambahan serta memakan masa.
Dia turut mengakui keputusan tersebut boleh dilihat bercanggah dengan komitmen Singapura untuk memudahkan kerjasama insolvensi rentas sempadan. Namun, jelasnya, Parlimen Singapura secara sengaja menetapkan tarikh 2018 ketika meluluskan undang-undang itu.






