Ketika sebahagian besar rakyat Malaysia sudah mula menikmati penyasaran subsidi untuk petrol RON95, masih ada segelintir penduduk di kawasan tertentu yang belum mendapat kemudahan tersebut kerana penjualannya ditangguhkan.
Semakan Malaysiakini mendapati, penjualan petrol bersubsidi itu tertangguh bekalannya bagi pasaran di kawasan Kuala Tahan, di Jerantut, Pahang.
Seorang peniaga, Moahamad Hafifi Mohd Azhar, 27, berkata dia dimaklumkan oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang berhubung penangguhan penghantaran bekalan keperluan tersebut.
Jelasnya, situasi itu memberi kerisauan dan bakal mengundang kesulitan kepada penduduk setempat mendapatkan bekalan petrol khususnya dalam menggerakkan aktiviti pelancongan di Taman Negara.
“Di sini merupakan kawasan tumpuan pelancong, justeru bekalan petrol merupakan keperluan utama bagi pengusaha-pengusaha bot pelancong dan aktiviti harian penduduk.
“Setakat hari ini saya dimaklumkan bekalan petrol ditangguhkan sementara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.
Menurut Moahamad Hafifi lagi, sebelum ini KPDN membekalkan 50,000 liter petrol bersubsidi kepada tiga kedai runcit di Kuala Tahan namun ia sebenarnya masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar.

“Di kedai saya biasanya bekalan petrol akan habis pada minggu terakhir setiap bulan.
“Kami pun belum pasti bagaimana mekanisme penjualan secara manual akan dibuat memandangkan belian petrol dihadkan 300 liter sebulan bagi individu yang layak,” katanya.
Pengerusi Persatuan Gabungan Perkhidmatan Bot Taman Negara, Fredauz Yusri Mat Yunus, pula berkata penangguhan penghantaran bekalan petrol itu sudah tentu memberi kerisauan kepada mereka untuk meneruskan kegiatan harian.
KPDN teliti masalah penduduk
Hal itu kerana, jelasnya, pengusaha bot atau penduduk terpaksa keluar lebih 30 kilometer jika mahu membeli petrol kerana itulah jarak paling hampir untuk ke stesen minyak terdekat.
“Kalau kedai-kedai runcit di sini tiada bekalan, kami terpaksa keluar ke stesen petrol Felda Sungai Retang… lebih 30km juga perjalanannya.
“Kebiasaannya kami dibenarkan membeli 20 liter petrol sekali beli. Tetapi kami belum tahu macam mana mekanismenya apabila kuota 300 liter seorang setiap bulan ditetapkan.
“Bagi penggunaan bot sahaja, kuota ini tidak cukup untuk menampung keperluan sebenar kami. Itu belum ambil kira pengguna untuk aktiviti harian lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Fredauz Yusri berkata, pihaknya berharap penangguhan jualan bekalan petrol di kawasan terbabit adalah bersifat sementara kerana jika berpanjangan ia pasti menyukarkan rutin harian penduduk setempat.
“Kami di sini kebanyakannya bergantung kepada produk pelancongan Taman Negara, manakala bot adalah pengangkutan utama.
“Kalau bekalan petrol terputus, memang akan beri masalah kepada kami,” katanya.

Seorang lagi peniaga kedai runcit yang menjual petrol subsidi di Kuala Tahan, Siti Nur Suhada Suhaimi, 26, berkata setakat ini dia belum diberi penerangan berhubung mekanisme penjualan petrol susulan pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95).
“Di sini sebelum ini kita jual ikut harga subsidi juga, menggunakan penyukat (manual) dengan lesen diberikan oleh pihak berkuasa (KPDN).
“Setakat ini (untuk Budi95) kami belum tahu lagi macam mana penjualannya dengan had kuota 300 liter sebulan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, ketika dihubungi berkata KPDN akan meneliti perkara itu untuk tindakan lanjut.






